web analytics

Satu Negeri Satu PULAPOL

13 August 2010

KDN Sana Sini

Begitulah hasrat MDN yang dinyatakan beliau dalam lawatan kerja ke Pusat Latihan Polis (PULAPOL), Pulau Langkawi pada 10 Ogos 2010.

Menurut Dato’ Seri Hishammuddin Tun Hussein keperluan PULAPOL di setiap negeri adalah penting dan asasnya kerana aspek latihan adalah perkara utama yang diperlukan bagi meneruskan kelangsungan kejayaan KDN menurunkan kadar jenayah dalam negara pada masa akan datang.

“Enam PULAPOL di seluruh negara sememangnya tidak mencukupi. Penubuhan PULAPOL ini adalah satu pelaburan jangka masa panjang bagi memerangi jenayah. Selain KDN, pelatih-pelatih dari agensi luar juga boleh dijemput untuk memberi latihan sekiranya diperlukan”, katanya.

Beliau berkata demikian semasa mendengar taklimat yang disampaikan pihak PULAPOL Pulau Langkawi mengenai infrastruktur kompleks, modul kursus yang dijalankan serta perancangan latihan pada masa akan datang.

MDN turut menunjukkan keseriusan beliau dalam aspek latihan terhadap barisan keselamatan negara apabila mencadangkan supaya menganjurkan kursus atau modul latihan professional dengan menjemput pakar-pakar keselamatan dari luar negara seperti FBI dan CIA ke Pulau Langkawi.

“Program LIMA di Pulau Langkawi adalah masa yang baik bagi mendapatkan kerjasama agensi keselamatan luar negara untuk memberi latihan dan kursus kepada anggota-anggota kita,” katanya.

Dalam program yang sama, MDN turut menyempurnakan upacara penanaman pokok di hadapan kompleks berkenaan.

Kompleks PULAPOL Pulau Langkawi yang pada asalnya ialah sebuah pusat peranginan yang dikenali sebagai Delima Resort mempunyai keluasan 11.45 hektar. Ia diserahkan secara rasmi kepada PDRM pada 29 Julai 2010 selepas projek baik pulih dan pengubahsuaian selesai.

– team berita ikdn

,