web analytics

Taklimat Faedah Persaraan untuk Bakal Pesara Polis & Penjara

17 August 2010

KDN Sana Sini

Bertempat di Maktab PDRM Kuala Lumpur, telah diadakan satu taklimat berkenaan dengan faedah-faedah untuk bakal pesara polis dan penjara untuk zon tengah. Timbalan Ketua Setiausaha Kanan (TKSU (N)) Dato’ Raja Azahar bin Raja Abdul Manap merasmikan sesi jelajah taklimat berkenaan.

Selepas dari taklimat untuk zon tengah ini, akan ada lagi enam (6) sesi taklimat yang akan diadakan di zon-zon yang telah ditetapkan iaitu zon Sabah, Sarawak, Selatan di Melaka, Utara di Kedah, Pantai Timur di Terengganu dan Perak. Kecuali zon Sabah yang akan diadakan di Ibu Pejabat Penjara, zon-zon yang lain akan diadakan di Ibu Pejabat Kontijen PDRM Negeri masing-masing.

Ketika dalam ucapan perasmian beliau, Dato’ Raja Azahar menegaskan yang taklimat ini amat perlu untuk memastikan bakal pesara polis dan penjara selepas ini tidak leka dengan jumlah wang pampasan dan faedah yang akan diberikan sebaliknya menggunakan wang yang diberikan itu sebagai permulaan kepada sesuatu perniagaan atau melakukan sesuatu yang bermakna untuk diri pesara dan keluarga mereka khususnya.

Turut hadir pada majlis perasmian adalah Setiausaha Bahagian Hal Ehwal Polis dan Penjara, En. Ishak bin Mohd Salleh dan Komandan Maktab PDRM Kuala Lumpur SAC I Dato’ Shahbudin bin Abdul Wahab.

Sejurus selepas majlis perasmian dan sarapan pagi, sesi taklimat dimulakan. Tujuan utama taklimat ini adalah untuk memberikan tunjuk ajar pada bakal pesara bagi menentukan apa yang akan mereka lakukan selepas bersara nanti. Taklimat ini disampaikan oleh Penolong Pengarah Bahagian Pasca Perkhidmatan Jabatan Perkhidmatan Awam Mohd Nashrul Naim bin Mohd Norshah. Taklimat disampaikan dalam dua sesi, iaitu sesi pagi selepas sarapan pagi dan sesi petang selepas makan tengah hari.

–team berita iKDN