web analytics

Temuramah Eksklusif Mangsa Pemerdagangan Orang

22 August 2010

KDN Sana Sini

Enam bulan dikurung di rumah pelacuran dianggap bagaikan berada di neraka bagi Bella, 18, salah seorang mangsa pemerdagangan orang yang ditemuramah oleh wartawan TV3, Nik Suraini binti Megat Deraman pada 18 Ogos 2010 yang lalu.

Selain Bella yang berasal dari Kuala Lumpur, empat lagi mangsa pemerdagangan orang warga Indonesia dan Filipina turut menceritakan pengalaman masing-masing dalam sesi temuramah yang diadakan di Rumah Perlindungan Wanita Bukit Ledang, Kuala Lumpur. Temuramah tersebut adalah untuk tujuan laporan khas Buletin Utama bagi memberi kesedaran kepada masyarakat mengenai jenayah yang semakin berleluasa ini.

“Saya ditipu oleh abang angkat yang kononnya hendak menawarkan saya kerja sebagai tukang urut di Johor Bharu. Sebaliknya saya dibawa ke kedai urut di Kuala Lumpur dan dipaksa bekerja sebagai pelacur . Abang angkat saya dibayar RM5000 oleh tauke kedai urut berkenaan dan saya dipaksa ‘membayar’ semula jumlah itu kepada tauke berkenaan dengan melacurkan diri,” kata Bella yang mengakui dipaksa melayan 300 orang pelanggan sepanjang enam bulan tersebut.

Bella yang ditangkap polis dalam satu serbuan besar-besaran di premis urut di Bandar Sunway, seterusnya dibawa ke Rumah Perlindungan Wanita tersebut. Menurut Pegawai Pembangunan Masyarakat di situ, Puan Norsalina binti Salim, selain aktiviti-aktiviti rutin seperti memasak, solat berjemaah, menjahit, dan lain-lain, Bella juga terpaksa diberi dadah tiruan dalam tempoh pemulihan ketagihannya kerana selain melacur, Bella juga disuntik dengan dadah oleh majikannya.

“Saya menasihatkan wanita di luar sana agar tidak mudah percaya dengan orang yang baru dikenali dan hubungan keluarga mestilah akrab”.

Dalam pada itu, dua orang warga Indonesia yang turut ditemuramah pada hari itu mempunyai pengalaman berbeza. Melly, 24 dan Tety, 26, ditipu oleh agen dan majikannya yang menjanjikan gaji sebanyak RM800 sebulan tetapi sebaliknya langsung tidak dibayar gaji.

“Kami dikurung di sebuah rumah seramai 71 orang dan kami semua dipaksa bekerja sebagai cleaner dari rumah ke rumah tanpa dibayar gaji. Ada 14 buah kamera CCTV di dalam rumah tersebut dan ada beberapa orang dari kami turut dipaksa menjadi pelacur,” kata Melly dan Tety yang terpaksa bekerja selama lapan jam sehari.

Walau bagaimanapun, nasib mereka berubah apabila tiga orang daripada mereka berjaya meloloskan diri dan membuat laporan kepada pihak berkuasa.

“Rumah itu diserbu oleh pegawai Jabatan Imigresen dan saya memberitahu mereka lokasi beberapa orang kawan saya yang disorokkan oleh majikan kerana tidak mahu ada kawan yang terus terperangkap,” kata Melly.

Seperti Bella, Maya dan Bernyl turut menjadi mangsa pemerdagangan orang kerana ditipu oleh orang yang dipercayai dan agen.

Maya, 27, berasal dari Jakarta Indonesia dijanjikan dengan pekerjaan pembantu restoran oleh agennya di Indonesia. Walau bagaimanapun, setibanya di Malaysia, dia dipaksa bekerja sebagai pelacur selepas agennya menjual dirinya kepada tauke premis pelacuran berkenaan dengan nilai RM2500.

“Walaupun saya telah memaklumkan yang saya tidak ada wang untuk ke Malaysia, agen tersebut tetap memujuk saya dengan berkata akan menanggung kos dengan wangnya terlebih dahulu dan saya boleh membayarnya kemudian. Tawaran gaji tiga juta rupiah sebulan (RM1000) itu memang membuatkan saya berminat,” katanya.

Ketika ditanya mengenai perancangan masa depannya selepas ini, Maya bercerita mengenai perancangannya untuk balik ke Jakarta dan bekerja di sana.

“Saya sudah takut mahu datang ke Malaysia, saya mahu bekerja di Jakarta sahaja,” katanya.

Bernyl, 30, yang berasal dari Filipina turut dijanjikan dengan pekerjaan di Malaysia tetapi kemudiannya ditipu. Dia yang fasih berbahasa Inggeris itu dipaksa bekerja sebagai pelacur tanpa dibayar gaji.

“Keadaan ekonomi dan politik di Filipina tak stabil. Disebabkan itu, saya memberanikan diri untuk mencuba nasib bekerja di Malaysia tetapi tidak menyangka akan ditipu dan terpaksa menjadi pelacur demi untuk mengisi perut,” katanya.

Ketika team berita ikdn menemui Nik Suraini, beliau mengakui perasaan terkejut beliau dengan pendedahan mangsa-mangsa pemerdagangan orang ini.

“Selain sekadar mahu mendedahkan realiti kes-kes seumpama ini di negara kita bagi tujuan memupuk kesedaran masyarakat, TV3 juga mahu meyakinkan audiens bahawa Malaysia telah berjaya mengurangkan indeks jenayah pemerdangan orang ini hasil operasi dan dan komitmen berterusan pihak berkuasa,” katanya yang mengakui laporan negatif media asing mengenai perkara ini memberi kesan langsung kepada perkembangan ekonomi dan imej negara. – team berita ikdn.