Menteri Dalam Negeri Dato’ Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata semasa Mesyuarat Pasca Kabinet bertarikh 11 Jun 2010 satu bengkel perlu diadakan dengan menjemput pengarah-pengarah Negeri Jabatan/Agensi KDN bagi menerangkan hala tuju KDN terutamanya mengenai NKRA mengurangkan jenayah, NKEA, RMK10 dan lain-lain agenda utama KDN.
Sehubungan itu, satu-persatu Bengkel Hala Tuju Dasar & Polisi Kementerian Dalam Negeri telah pun diadakan dengan jayanya mengikut zon-zon seluruh negara. Sebelum ini, bengkel hala tuju ini telah diadakan di Kedah (Zon Utara), Melaka (Zon Selatan), Pahang (Zon Timur), Zon Sabah dan Zon Sarawak.

Bengkel kali ini yang telah memasuki peringkat terakhir iaitu Zon Tengah telah diadakan pada 23 September 2010 yang lalu bertempat di Dewan Gemilang, Blok D1, Putrajaya. Pembukaan bengkel ini telah dirasmikan oleh Dato’ Abdul Bakir bin Haji Zin, Timbalan Ketua Setiausaha (Khas) Kementerian Dalam Negeri.
“Harapan saya dengan mengadakan Bengkel Hala Tuju ini dapat mewujudkan keterbukaan semua pihak supaya kita dapat membincangkan dan memberikan pandangan masing-masing dalam melaksanakan dasar KDN khususnya”, katanya.
Bengkel yang terbahagi kepada enam sesi ini bertujuan memberikan taklimat dan penerangan kepada Pengarah-pengarah Negeri mengenai agenda utama KDN yang berkaitan dengan perkara seperti National Key Result Area (NKRA), 1 Malaysia, Model Ekonomi Baru (MBE), National Key Economic Areas (NKEA) dan Key Performance Indicators KDN (KPI). Selain itu, membincangkan isu-isu yang dihadapi oleh Jabatan dan Agensi di peringkat negeri bagi sepanjang tempoh pelaksanaan RMK9 bagi meminimumkan kegagalan dalam pelaksanaan projek-projek pembangunan.
Bengkel yang dihadiri kira-kira 150 orang peserta melibatkan Pengarah-pengarah Negeri, Pegawai KDN di peringkat Negeri yang menjaga kewangan/pembangunan, Pengetua Pusat latihan dan Pegawai-Pegawai Latihan di semua jabatan/agensi di bawah Kementerian Dalam Negeri.

–team berita ikdn


















24 September 2010
KDN Sana Sini