web analytics

Majlis Ikrar Integriti

24 September 2010

KDN Sana Sini

Kementerian Dalam Negeri telah mengambil pendekatan mengadakan Majlis Ikrar Integriti oleh syarikat yang berjaya memenangi apa-apa perolehan tender di bawah kementerian ini.

Majlis Ikrar Integriti ini bukan semata bertujuan untuk mengalu-alukan kehadiran syarikat yang berjaya tetapi juga sebagai usaha ke arah meningkatkan integriti dan ketelusan dalam perolehan Kerajaan.

Sehubungan dengan itu tiga syarikat iaitu Syarikat Masterplan Consulting Sdn. Bhd, Perniagaan Utara Canggih dan Yakin Niaga Enterprise telah dipanggil untuk melafazkan Ikrar Integriti pada 22/09/2010.

Bersaksikan Ketua Setiausaha KDN Dato’ Sri Mahmood bin Adam, majlis itu turut dihadiri oleh Dato’ Md. Nor bin Hashim, Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan), Dato’ Abd. Rahim bin Mohd Radzi, Timbalan Ketua Setiausaha (Keselamatan) dan Datuk Mahsuri bin Zainal, Ketua Pengarah Jabatan Logistik PDRM.

Wakil-wakil Syarikat bukan sahaja melafazkan Ikrar Integriti tetapi turut menandatangani Surat Akuan Pembida Berjaya bagi tender yang berkenaan.

Syarikat Masterplan Consulting Sdn Bhd. telah berjaya dalam tender Pembekalan dan Penghantaran Peralatan Perhubungan Risikan untuk PDRM (brief project). Tempoh kontrak ialah untuk satu (1) tahun mulai 15 Ogos 2010 hingga 14 Ogos 2011 bernilai sejumlah RM 7,020,299.00.

Syarikat Utara Canggih berjaya dalam tender Pembekalan Makanan Bermasak Kepada Anggota-anggota Bujang Batalion 2 PGA Kulim, Kedah. Tempoh kontrak ialah selama dua (2) tahun mulai 15 Julai 2010 hingga 14 Julai 2012. Anggaran Anggota ialah seramai 235 orang dan nilai kontrak ialah sejumlah RM 2,487,475.00.

Syarikat Yakin Niaga Enterpise ditawarkan kontrak Pembekalan Makanan Bermasak Kepada Anggota-anggota yang Bertugas dalam Ops Utama Perdana (NKRA) di Daerah Klang, Shah Alam, Petaling Jaya dan Kajang, Selangor. Tempoh kontrak ialah selama dua (2) tahun mulai 1 Januari 2011 hingga 31 Disember 2012. Anggaran anggota ialah seramai 242 orang dan nilai kontrak ialah sejumlah RM 2,384,910.00.

–team berita ikdn