web analytics

Hishammuddin Rasmi Pusat Media dan Pelancaran Facebook PDRM

22 September 2010

KDN Sana Sini

Pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengorak terus dengan perasmian pusat media demi meningkatkan kualiti penyampaian maklumat yang diperlukan oleh media. Menteri Dalam Negeri Dato’ Seri Hishammuddin Tun Hussein yang hadir merasmikan Pusat Media itu turut melancarkan Facebook PDRM.

Dato’ Seri Hisham berkata pengwujudan pusat media itu menyatakan manifestasi kepada kesungguhan KDN dan PDRM dalam usaha merapatkan jurang komunikasi antara pihak polis, media dan masyarakat.

“Media center ialah satu lembaran baru bagi PDRM untuk terus relevan dengan landskap dan konteks sosial dan kepantasan teknologi maklumat pada masa kini supaya media dan rakyat mendapat maklumat yang benar, tepat, cepat di samping membantu anggota PDRM menjalankan tugas,” katanya.

Menurut beliau lagi konteks jenayah yang semakin luas dan merentasi sempadan menuntut kerjasama erat di antara PDRM dengan pihak media dalam memastikan keselamatan negara tidak terjejas.

“Jenayah-jenayah yang melibatkan hubungan antarabangsa seperti penyeludupan dadah, pemerdagangan orang dan isu keganasan misalnya memerlukan kerjasama media agar masyarakat tidak didedahkan dengan spekulasi dan maklumat palsu berkenaan sesuatu kes, maklumat yang salah juga akan mengganggu siasatan polis,” katanya.

Beliau yakin Pusat Media PDRM akan menjadi platform terbaik bagi mencapai matlamat tersebut. Menyentuh mengenai kes pembunuhan jutawan kosmetik,Datuk Sosilawati Lawiya, beliau berpendapat “Pihak polis telah menjalankan tugas yang sangat baik dalam kes tersebut dengan kertas siasatannya telah dikemukakan kepada Peguam Negara hari ini. Walau bagaimanapun, saya yakin pelaporan media terhadap isu ini boleh ditambahbaik lagi dan media center ini ialah satu saluran terbaik yang dapat mewujudkan smart partnership antara PDRM dan media agar situasi menang-menang diperolehi dan paling utama ialah supaya rakyat mendapat maklumat yang tepat.”

Terdahulu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Hj. Ismail Hj. Omar dalam ucapan alu-aluannya menyatakan harapan agar penubuhan Pusat Media PDRM dan laman Facebook PDRM dilihat sebagai bukti kesungguhan dan keikhlasan PDRM untuk berkongsi maklumat dengan masyarakat.

“Media center dan akaun Facebook ini ialah satu inisiatif PDRM bagi menjalankan tanggungjawab membantu media memberikan maklumat yang benar, cepat dan tepat kepada rakyat,” katanya.

Turut hadir pada majlis yang berlangsung pada petang 21 September 2010 itu ialah kedua-dua Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Wira Abu Seman b. Yusop dan Dato’ Lee Chee Leong. Tidak ketinggalan ialah Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Hussin bin Hj. Ismail

–team berita ikdn