web analytics

KDN Terima Cadangan Pengurusan PATI – KSU

21 September 2010

KDN Sana Sini

Kementerian Dalam Negeri tidak pernah membuka tender berkait perkhidmatan pengurusan pekerja asing (PATI) yang kononnya akan diswastakan. Sehubungan itu tindakan lebih dari 127 syarikat pengurusan pekerja asing yang memohon membuat pendaftaran dengan KDN telah menimbulkan tanda tanya.

Berikutan dengan itu KDN telah menganjurkan pertemuan dengan syarikat-syarikat berkenaan yang telah diadakan pada 20 September 2010. Pertemuan yang berlangsung hampir 4 jam itu dihadiri oleh lebih dari 300 syarikat berkaitan dari seluruh Malaysia. Sesi dialog itu dipengerusikan oleh Dato’ Sri Mahmood b. Adam. Turut hadir bersama barisan pengurusan tertinggi KDN yang lain ialah Timbalan Ketua Setiausaha Kanan YM Dato’ Raja Azhar b. Raja Abd. Manap.

“Sungguhpun tidak ada tender dibuka, kerajaan terbuka menerima cadangan dari syarikat-syarikat dan melihatnya sebagai salah satu kaedah yang dapat meringankan beban pejabat kita (KDN),” katanya.

Menurutnya isu berkaitan dengan PATI memang diberi perhatian serius oleh KDN. Sehubungan itulah pada April 2010 yang lalu sebuah makmal diwujudkan bagi membincangkan perkara itu dari pelbagai aspek. Hasil dari makmal yang dihadiri oleh pelbagai agensi berkaitan telah mencadangkan 52 inisiatif untuk diberi perhatian oleh Kerajaan.

“Kertas kabinet mengenainya akan dibentangkan pada minggu hadapan. Kita mencadangkan 6 kaedah tindakan antaranya pendaftaran PATI dan pemutihan PATI. Dari situ dapat kita membuat pengukuran sektor mana yang berhadapan dengan lebihan dan kekurangan PATI. Nilai pengukuran ini penting dalam menentukan tindakan yang bakal kita ambil,” katanya.

Tambah KSU KDN itu pertemuan sebegini dibuat bagi mendengar persoalan dan cadangan dari syarikat-syariakt berkenaan. Sebelum ini kebanyakkan syarikat mengambil inisiatif sendiri menghantar cadangan masing-masing.

“Dengan menawarkan diri, mengemukakan cadangan, tuan-tuan telah menjadi sebahagian dari makmal kerana memberi pandangan kepada kerajaan. Kita mendengar cadangan-cadangan berkenaan. Kita percaya perkara ini dapat diselesaikan dalam tempoh 6 bulan dan berdasarkan pengalaman kita dalam isu-isu lain sebelum ini kita berjaya menyelesaikannya lebih awal,” katanya.

Beliau turut membuat gesaan agar syarikat-syarikat membuat pendaftaran PATI yang dibawa masuk oleh mereka sebagai salah satu tanggungjawab kepada negara. Beliau mengakui data sebenar PATI di negara ini sukar dinyatakan secara tepat dan jumlah yang tersimpan di Jabatan Imigresen Malaysia hanyalah sebahagian sahaja.

–team berita ikdn