web analytics

KENYATAAN AKHBAR KDN: Akademi Jenayah Rentas Sempadan

28 September 2010

KDN Sana Sini

KENYATAAN AKHBAR
KEMENTERIAN DALAM NEGERI

28HB. SEPTEMBER 2010

AKADEMI JENAYAH RENTAS SEMPADAN

1. Perubahan lanskap di peringkat antarabangsa, politik, ekonomi dan keselamatan telah mewujudkan keperluan bagi menangani isu-isu jenayah rentas sempadan melalui pendekatan baru yang lebih dinamik. Dalam hubungan ini, KDN telah menjalin kerjasama secara lebih bersepadu dengan pelbagai agensi-agensi keselamatan / penguatkuasaan dalam negeri khususnya dalam isu-isu keganasan, pengubahan wang haram, pemerdagangan orang, jenayah siber, pengurusan krisis dan risiko serta penyeludupan dadah.

2. Cadangan pendekatan baru ini memerlukan penganalisaan, penyelarasan dan tindakan setiap agensi yang berkaitan secara holistik terhadap ancaman dan implikasi jenayah rentas sempadan ke atas keselamatan serta kestabilan politik dan ekonomi negara. Ini kerana jenayah rentas sempadan di pengaruhi secara tidak langsung oleh penyebaran ideologi militan, pemalsuan dokumentasi, eksploitasi buruh termasuk wanita dan kanak-kanak, penyalahgunaan dadah, transaksi kewangan haram dan penularan maklumat negatif. Mengikut statistik Bank Negara Malaysia pada tahun 2007, Malaysia telah mengalami kerugian berbillion ringgit yang dikesan berkaitan kegiatan jenayah rentas sempadan.

3. Untuk memantapkan kerjasama membanteras jenayah rentas sempadan, Kementerian Dalam Negeri akan mengadakan perbincangan secara lebih lanjut mengenai cadangan untuk menubuhkan sebuah akademi jenayah rentas sempadan yang akan melibatkan penyertaan agensi-agensi keselamatan antaranya Polis DiRaja Malaysia, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia dan Majlis Keselamatan Negara.

4. Kerjasama ini juga akan melibatkan Bank Negara Malaysia sebagai penyelaras institusi-institusi kewangan serta penglibatan oleh institusi-institusi pendidikan dan penyelidikan. Akademi jenayah rentas sempadan ini kelak akan disasarkan untuk menjadi pusat bina upaya dan latihan serantau dan antarabangsa yang unggul di bidang ini.

5. Kementerian Dalam Negeri telah mengadakan dua (2) siri mesyuarat pelbagai agensi dan dua (2) sesi taklimat kepada Y.B. Menteri Dalam Negeri mengenai cadangan penubuhan akademi jenayah rentas sempadan di mana cadangan secara komprehensif ini kelak akan dikemukakan untuk pertimbangan dan kelulusan Jemaah Menteri.

Dato’ Abdul Rahim bin Mohd Radzi
Timbalan Ketua Setiausaha (Keselamatan)
Kementerian Dalam Negeri