web analytics

KENYATAAN AKHBAR TMDN: KDN Rangka Penambahbaikan Garis Panduan Media Cetak

15 September 2010

Teks Ucapan MDN & TMDN

KENYATAAN AKHBAR
KEMENTERIAN DALAM NEGERI
15 SEPTEMBER 2010

KDN RANGKA PENAMBAHBAIKAN GARIS PANDUAN MEDIA CETAK

1. Pemantauan Kementerian Dalam Negeri (KDN) sejak kebelakangan ini mendapati wujud kecenderungan di kalangan penerbit-penerbit akhbar untuk mensensasikan laporan berita, rencana dan surat-surat pembaca yang menyentuh isu-isu sensitif tanpa mengira kesan dan akibat terhadap soal keselamatan dan ketenteraman awam.

2. Pendekatan sesetengah penerbit untuk menjadikan soal kaum dan agama sebagai asas perdebatan dan pertikaian dilihat telah mewujudkan suasana tidak tenteram dan hanya meresahkan rakyat. Keadaan sedemikian jika dibiarkan berterusan akan hanya mengganggu-gugat perpaduan dan keharmonian kaum dan agama di negara ini serta boleh menjejaskan keselamatan dan ketenteraman awam.

3. Sikap sesetengah penerbit ini yang tidak prihatin dan tidak peka dengan kesan dan reaksi rakyat terhadap penerbitan akhbar mereka, khususnya yang menyebabkan ketegangan hubungan sosial, agama dan kaum ini amat dikesali. Perbuatan ini jelas tidak bertanggung jawab dan dilakukan tanpa berfikir panjang. Penerbit perlu sedar yang mereka perlu kembali kepada amalan kewartawanan yang bertanggungjawab bagi menjayakan agenda negara serta peranan untuk turut membantu mengekalkan kestabilan negara dan keharmonian di kalangan rakyat. Walaupun kerajaan mahu bersikap terbuka, tetapi kebebasan yang diberikan oleh kerajaan selama ini tidak dihargai dan telah menyebabkan keresahan majoriti rakyat.

4. Surat khabar masih merupakan medium berpengaruh dan penerbit perlu lebih berintegriti dan bertanggungjawab dalam soal penerbitan berbanding medium lain. Bidang persuratkhabaran adalah satu bidang yang dihormati kerana menjadi penyokong dan saluran yang paling berkesan untuk membantu meneguhkan dasar pemerintahan sesebuah negara serta pada masa yang sama memastikan kestabilan, keselamatan dan ketenteraman awam tercapai.

5. Mengambil kira keresahan yang wujud di kalangan rakyat akibat sikap tidak bertanggung jawab sesetengah penerbitan, KDN telah mula memanggil penerbit-penerbit yang tidak peka ini secara berperingkat. KDN juga akan bertindak tegas untuk menilai semula kebenaran menerbit akhbar-akhbar yang tidak peka dan bertanggung jawab ini. Mengambil kira juga realiti hari ini, satu Garis Panduan Penerbitan yang lebih menyeluruh dan menepati keperluan semasa akan dirangka oleh KDN bagi memastikan penerbit maklum dan memahami tanggung jawab serta peranan mereka dengan sepenuhnya.

6. Antara perkara yang perlu diberikan penambahbaikan ialah dengan memperjelaskan dengan lebih terperinci peraturan-peraturan dan syarat-syarat permit serta peruntukan-peruntukan di dalam Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 (Akta 301). Perubahan ini kelak akan memastikan penerbit melaksanakan peranan mereka dengan lebih baik dan segala perkara yang boleh menjejaskan kestabilan negara dan rakyat negara ini ditangani dari peringkat awal lagi. Bagaimanapun semua tindakan ini tidak akan melibatkan kandungan teks dan penerbitan yang disiarkan di Internet kerana ia berada di bawah tanggungjawab Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

7. Sejajar dengan penambahbaikan tersebut, saya berharap Kementerian dapat membendung kegiatan sesetengah penerbit yang sengaja dan sering menimbulkan ketegangan dan keresahan di kalangan masyarakat pelbagai agama, bangsa dan budaya di negara ini.

YB. DATO’ LEE CHEE LEONG
TIMBALAN MENTERI DALAM NEGERI
KEMENTERIAN DALAM NEGERI
Putrajaya.