web analytics

KENYATAAN MEDIA MDN: Usaha Memantapkan Pelaksanaan Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) Bagi Mengurangkan Kadar Jenayah

15 September 2010

Teks Ucapan MDN & TMDN

KENYATAAN MEDIA

YB. Dato’ Seri Hishammuddin Tun Hussein
Menteri Dalam Negeri

Usaha Memantapkan Pelaksanaan Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) Bagi Mengurangkan Kadar Jenayah

Putrajaya, 15 September 2010

Laporan yang dikeluarkan oleh Program Transformasi Kerajaan (GTP) mengenai penurunan kadar jenayah di negara ini meneguhkan keyakinan semua pihak bahawa matlamat untuk menurunkan jenayah jalanan sebanyak 20 peratus dan indeks jenayah keseluruhan sebanyak 5 peratus pada penghujung Disember ini akan tercapai Insya-Allah. Pencapaian bagi menurunkan indeks jenayah keseluruhan dari Januari hingga Ogos sebanyak 16.24 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu dan penurunan signifikan 37 peratus jenayah jalanan dalam tempoh sama ini adalah kesan daripada pelbagai langkah dan pendekatan luar kotak yang dicetuskan di bawah inisiatif Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA). Segala keputusan yang dibuat berhubung NKRA adalah dipengerusikan sendiri oleh YAB Perdana Menteri Dato’ Sri Najib Tun Razak dan diselaraskan secara bersepadu antara lebih daripada lapan Kementerian dan 15 agensi.

Dalam usaha untuk menurunkan kadar jenayah, kehadiran anggota polis yang lebih ramai, skim rondaan sukarela di samping penugasan semula 6,791 personel polis ke barisan depan dan 3,814 anggota awam mengendali tugas meja telah sehingga kini memberi impak yang besar bagi membanteras jenayah. Semua tindakan ini adalah hasil daripada kerjasama, komitmen dan kebijaksanaan hasil kajian dan perbincangan yang mendalam antara Polis DiRaja Malaysia dan Kementerian Dalam Negeri dengan dibantu oleh agensi-agensi yang berteraskan konsep kesukarelawanan seperti Angkatan Relawan Rakyat (RELA) dan Jabatan Petahanan Awam Malaysia (JPAM).

Gerak kerja yang telah dimulakan ini telah membantu memperluaskan idea pasukan PDRM dalam mengawal selia dan menyusun pelan membanteras jenayah di musim perayaan yang sedang dirayakan ketika ini. Saya telah dimaklumkan bahawa terdapat lebih 4,000 orang anggota dan pegawai polis telah ditugaskan untuk mengawasi keadaan trafik yang sebahagian besarnya tertumpu di jalan-jalan utama di seluruh negara. Untuk makluman, hanya 10 peratus daripada keseluruhan keanggotaan pasukan PDRM yang diluluskan cuti dan 90 peratus lagi telah bertugas sepanjang musim perayaan kali ini. Pengawasan turut diberikan terhadap kawasan-kawasan perumahan terutama di kawasan-kawasan bandar kerana penghuninya bercuti dan pulang ke kampung. Ini tertumpu di empat negeri utama yang telah dikenali pasti sejak inisiatif NKRA ini diperkenalkan iaitu Wilayah Persekutuan, Selangor, Johor dan Pulau Pinang. Penugasan di kawasan seperti ini telah dikendalikan oleh ketua-ketua polis balai dengan hubungan yang rapat dengan masyarakat setempat. Para penduduk telah dihubungi oleh ketua-ketua polis balai menerusi institusi seperti masjid, persatuan penduduk dan sebagainya untuk memudahkan polis menyusun tugas-tugas pengawasan.

Saya mahu PDRM mencari pendekatan yang lebih kreatif dan strategik dalam menangani jenayah pecah rumah di kawasan kejiranan pada masa depan dengan mengadakan lebih banyak pertemuan dan mengukuhkan hubungan dengan masyarakat. Penglibatan orang awam dalam membantu melengkapkan data dan rekod pengawasan polis pastinya akan membawa kepada perkembangan yang positif dalam perkara ini.

TAMAT…/