web analytics

Keselamatan Rakyat Indonesia Dijamin Selamat

3 September 2010

KDN Sana Sini

Di sebalik tindakan membakar bendera Malaysia dan menyerang kedutaan Malaysia di Jakarta, hubungan Malaysia dan Indonesia akan menjadi semakin erat.  Komitmen Presiden Indonesia Susilo Bambang Yudhoyono untuk menyelesaikan perkara ini secara berhemah dan bijaksana merupakan perkara yang penting dalam konteks Negara berjiran.

Dato’ Seri Hishammuddin Bin Tun Hussein berkata demikian kepada media ketika menjenguk dan berbuka puasa bersama Pegawai Imigresen yang bertugas pada petang itu di Balai Berlepas Antarabangsa, LCCT Sepang.  Lawatan yang diadakan pada 2 September itu turut diringi oleh Ketua Setiausaha KDN Dato’ Sri Mahmood b. Adam dan Ketua Pengarah Imigresen Datuk Abd. Rahman b. Othman.

“Saya percaya keadaan akan kembali kepada normal.  Tadi saya berjumpa dan sempat mengambil  gambar dengan warga Indonesia yang akan pulang ke tanah air mereka dan tidak ada pun riak tidak senang mereka kepada kita.  Insiden-insiden lain hanya akan mengeruhkan lagi keadaan,” katanya.

Beliau menambah Malaysia bagaimanapun memantau situasi ini dari semasa ke semasa.  Bahkan jaminan keselamatan rakyat Indonesia di negara ini terjamin selamat kerana tindakan yang berasaskan emosi dan tidak bertanggungjawab hanya akan semakin mengeruhkan keadaaan.

–team berita ikdn