Pertemuan pertama antara pemilik lesen cetak dan permit penerbitan Negeri Johor bersama Ketua Setiausaha KDN, Dato’ Sri Mahmood bin Adam yang telah diadakan pada 25 September 2010 telah mendapat sambutan menggalakkan. Lebih kurang 70 orang pemilik lesen cetak dan permit penerbitan negeri itu telah hadir. Pertemuan itu selain memberi peluang pertemuan bersemuka dengan KSU KDN, para jemputan juga boleh mengemukakan pandangan dan masalah berkenaan operasi percetakan dan undang-undang yang terpakai berkaitan penerbitan dalam negara untuk perhatian dan tindakan KDN selanjutnya.

“Dialog ini ialah satu lagi inisiatif KDN turun padang dalam memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat. Kita mahu mendengar masalah pelanggan KDN di peringkat akar umbi dan mengambil tindakan penyelesaian segera,” katanya dalam ucapan alu-aluan.
Dalam sesi dialog yang berlangsung hampir sejam itu, pelbagai soalan dan isu yang telah dikemukakan peserta yang terdiri daripada pemilik syarikat penerbitan dari seluruh negeri Johor.
Antara isu yang dibangkitkan peserta ialah mengenai penerbitan dan percetakan berbentuk digital yang tidak tertakluk dalam Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 sedangkan skala penerbitan tersebut yang banyak dan pantas berbanding mesin cetak biasa.

Menjawab persoalan tersebut, KSU KDN mengakui bahawa perkembangan pesat teknologi penerbitan dan percetakan menuntut perubahan dari segi undang-undang dan peraturan yang digunapakai. Sehubungan itu, KDN dengan kerjasama Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang Jabatan Perdana Menteri dan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi kini dalam usaha kajian dan perbincangan bagi memasukkan perkara berkaitan penerbitan dan percetakan digital dalam akta berkenaan.

Selain itu, KSU turut berjanji akan mempertimbangkan cadangan peserta untuk meminda syarat permohonan lesen percetakan yang perlu dikemukakan pada setiap tahun kepada lima tahun sekali.
“KDN terbuka kepada setiap cadangan mengenai penambahbaikan peraturan sedia ada. Walau bagaimanapun, saya juga berharap anda dapat mematuhi peraturan dan menjauhi bahan-bahan penerbitan yang menyentuh sensitiviti kaum yang boleh mengancam keselamatan negara,” katanya tegas.

Salah seorang peserta program turut memohon agar nisbah pekerja tempatan dan pekerja asing yang ditetapkan sekarang ditingkatkan daripada 1:1 kepada 1:3 berikutan kesukaran mendapatkan tenaga pekerja tempatan.
“Perkara ini tidak boleh dilihat dari sudut perniagaan semata-mata kerana isu pekerja asing ini bukan sahaja melibatkan sektor percetakan malah telah menjadi isu keselamatan negara. Oleh itu, keputusan dan tindakan KDN berkaitan perkara ini akan dibuat selepas menilai semua kepentingan berkaitan,” kata beliau.

Program anjuran Bahagian Kawalan Penerbitan dan Teks Al-Quran yang turut dihadiri oleh Timbalan Ketua Setiausaha (Keselamatan), Dato’ Abd Rahim bin Mohd Radzi tersebut diakhiri dengan upacara penyerahan surat kelulusan lesen mesin cetak dan bayaran Permit Penerbitan kepada enam buah syarikat penerbitan.
–team berita ikdn.


















26 September 2010
KDN Sana Sini