web analytics

KSU Lawat PQ Bandar Sultan Iskandar

28 September 2010

KDN Sana Sini

Turut mengisi dua hari lawatan kerja Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (KSU), Dato’ Sri Mahmood bin Adam ke Johor pada 25 September – 26 September 2010 ialah lawatan ke Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Bandar Sultan Iskandar (BSI).

Tumpuan beliau ialah taklimat berkaitan operasi Bahagian Kawalan Penerbitan dan Teks Al-Quran (PQ) di kompleks berkenaan yang disampaikan oleh Ketua Pejabat PQ Cawangan CIQ BSI, Hajah Aminah binti Haji Adnan.

Taklimat tersebut antara lain memberi maklum mengenai struktur perjawatan, infrastruktur yang terdapat di kompleks tersebut serta proses aliran kerja kakitangan PQ di pintu masuk berkenaan.

Menurut Hajah Aminah, berdasarkan statistik terkini sebanyak 19,876 jenis naskhah dan 32 buah buku yang diharamkan dan menyalahi Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 telah ditahan di pintu masuk negeri berkenaan.

“Semua proses penyemakan dan tapisan bahan cetakan dilakukan satu-persatu secara manual oleh sembilan orang kakitangan kita. Kakitangan PQ akan memanjat lori yang memuatkan bahan terbitan, mengangkut turun kotak dan menyemaknya satu-persatu,” katanya yang mengakui bahagian tersebut amat memerlukan penambahan kakitangan.

Selain itu, oleh kerana kakitangan PQ menjalankan tugas penguatkuasaan, Hajah Aminah turut memohon pengurusan tertinggi KDN agar membekalkan pakaian seragam agar mereka lebih mudah dikenali dan memudahkan perjalanan tugas.

KSU ketika mengulas perkara berkenaan, mengucapkan tahniah kepada kakitangan PQ di kompleks berkenaan yang menjalankan tugas dengan baik meskipun dalam kekurangan sumber manusia. Beliau turut berjanji akan mempertimbangkan secara serius keperluan bahagian tersebut.

“Oleh kerana kakitangan PQ bukanlah anggota skim keselamatan seperti Jabatan Penjara atau Jabatan Imigresen, pemberian pakaian seragam seperti jaket mungkin lebih sesuai berbanding pakaian seragam lengkap,” katanya.

Dato’ Sri Mahmood turut mengesyorkan agar perbincangan lanjut diadakan berhubung masalah-masalah lain yang telah dibangkitkan.

–team berita ikdn