Bekerja secara luar biasa. Begitulah seruan KSU, Dato’ Sri Mahmood bin Adam kepada semua anggota RELA ketika berucap dalam Majlis Perjumpaan KSU Bersama Pegawai dan Kakitangan RELA yang berlangsung di Dewan Putra Bandar Kulai Jaya, Johor.
“Kita semua perlu bekerja secara luar biasa. Ini penting demi menyampaikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat. Justeru prinsip keanggotaan RELA yang berasaskan kesukarelaan pastinya kelihatan lebih relevan dalam usaha mencapai matlamat ini”, katanya.
Dalam ucapan yang sama, KSU turut mengingatkan anggota RELA yang hadir di majlis tersebut supaya menjalankan tugas dengan bangga dan bersemangat. Menurut beliau, peranan RELA masa kini telah diperluaskan untuk bertugas di lapangan terbang mini di Sabah dan Sarawak selain di pejabat-pejabat kerajaan dan depot.

Dalam sidang media selepas itu, KSU turut mengalu-alukan pemimpin-pemimpin masyarakat dari pelbagai kaum untuk turut menyertai RELA. Ketika ditanya mengenai jumlah keanggotaan RELA, beliau dengan yakin memaklumkan bahawa menjelang akhir tahun ini, anggota RELA disasarkan seramai 2.6 juta orang.

Majlis yang dianjurkan RELA sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri tersebut turut dihadiri oleh Timbalan Ketua Setiausaha (K), Dato’ Abd Rahim bin Mohd Radzi dan Ketua Pengarah RELA, Dato’ Zaidon bin Hj. Asmuni.

– team berita ikdn


















28 September 2010
KDN Sana Sini