web analytics

Penubuhan NKRA Berjaya Banteras Jenayah

3 September 2010

KDN Sana Sini

Kementerian Dalam Negeri (KDN) telah berjaya mencapai sasaran mengurangkan jenayah yang mana termasuk dalam salah satu daripada enam Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) yang diperkenalkan YAB Perdana Menteri sempena genap 100 hari pentadbiran beliau sebagai Perdana Menteri.


Kenyataan tersebut dikeluarkan oleh YB Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Wira Abu Seman dalam sesi temuramah beliau dengan wartawan Astro Awani pada 2 September 2010 di pejabatnya.

“Bagi tempoh Januari hingga Julai 2010, sebanyak 103 489 kes diterima berbanding sebanyak 121 571 kes yang diterima pada tahun 2009 dalam tempoh yang sama”, katanya.

Menurut beliau, jumlah tersebut jelas menunjukkan penurunan indeks jenayah sebanyak 14.9% dan indeks jenayah jalanan yang menurun sebanyak 36.7%. walau bagaimanapun, usaha dan tindakan Kerajaan serta KDN tidak akan berhenti setakat ini meskipun jumlah tersebut telah melepasi sasaran awal yang ditetapkan.

“Usaha-usaha membanteras jenayah ini bukan sahaja difokuskan kepada peranan PDRM, malah selari dengan gagasan 1Malaysia, usaha membanteras jenayah ini turut didokong oleh penglibatan rakyat dan teknologi seperti dalam Skim Rondaan Sukarela oleh Rukun Tetangga, RELA, pemasangan CCTV, dan lain-lain”, jelas beliau.

Ketika ditanya mengenai faktor utama yang mendorong kejayaan KDN mencapai sasaran, beliau menjelaskan ada tiga elemen penting yang membantu kejayaan tersebut iaitu faktor manusia, peralatan dan teknologi.

“Kita mengumpulkan tenaga anggota-anggota polis dan ditugaskan sentiasa menjalankan rondaan di kawasan-kawasan hotspot bagi mewujudkan Omnipresence. Langkah ini selain dapat membanteras jenayah, ia juga secara tidak langsung membina keyakinan dalam kalangan masyarakat awam bahawa negara kita aman dan selamat”, katanya.

Selain PDRM, beliau turut menegaskan penglibatan anggota JPAM dan RELA yang turut bekerjasama dengan PDRM bagi membanteras jenayah jalanan selepas latihan yang diberikan kepada mereka untuk tujuan tersebut.

Dalam sesi temuramah yang sama, beliau turut diminta mengulas mengenai kes individu Namawee, yang didakwa membuat rakaman video terbaru yang menghina kerajaan Malaysia.

“Apa yang boleh saya katakana ialah pihak polis sedang menyiasat kes tersebut dan khususnya kes tersebut berkait rapat dengan jenayah hasutan. Tugas PDRM adalah membuat siasatan dan selepas siasatan selesai, PDRM akan menyerahkan kertas siasatan tersebut kepada Peguam Negara untuk diteliti tindakan berikutnya”, jelasnya.

Ketika diminta mengulas mengenai pelantikan Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail bin Omar sebagai Ketua Polis Negara yang baru menggantikan Tan Sri Musa bin Hassan berkuatkuasa mulai 13 September akan datang, beliau menyuarakan keyakinan beliau dengan pengalaman dan personaliti Tan Sri Ismail bagi meneruskan prestasi cemerlang PDRM.

“Tan Sri Ismail sememangnya berpengalaman dan arif mengenai hal-hal berkaitan tugasan kepolisan dan keselamatan negara. Saya percaya dengan pengalaman tersebut, beliau mampu menjalankan tugas sebagai Ketua Polis Negara berdasarkan usaha-usaha yang telah beliau berjaya laksanakan sebagai Timbalan Ketua Polis Negara sebelum ini bagi mengekalkan nama baik PDRM dan KDN”, katanya mengakhiri sesi temuramah.

– team ikdn