Jika dibandingkan dengan depot-depot tahanan warga asing di negara ini, Depot KLIA sering mendapat tempat di dada-dada akhbar dengan beberapa kes pelarian yang berlaku di sini sejak ditubuhkan pada 2001. Antara punca permasalahan yang di kenalpasti ialah fungsi asal depot ini sebagai penempatan sementara kepada warga asing yang tiba melalui KLIA tetapi tidak dibenarkan memasuki Malaysia atas sebab-sebab tertentu telah di tambah kepada tempat tahanan pengusiran, tahanan case file, pekerja asing yang tidak dijemput majikan dan tahanan mangsa pemerdagangan orang (sebelum Rumah Perlindungan Tanjung Kling dibuka).

“Walaupun didapati fungsi telah berubah namun infrastruktur keselamatan tidak dinaiktaraf. Selain itu juga didapati struktur pentadbiran operasi harian juga tidak kukuh,” kata Komandan Depot KLIA Encik Delber Singh. Menurut beliau lagi Operasi Standard Keselamatan juga tidak diamalkan di samping budaya kerja tidak sihat di kalangan pengawal keselamatan.

Taklimat yang disampaikan bersempena dengan tinjauan oleh KSU KDN Dato’ Sri Mahmood b Adam yang berkunjung ke sana pada 17 September 2010. Sejak pertengahan Julai 2010, KDN telah melakukan penambahbaikan drastik antaranya ialah mewujudkan Jabatan Depot demi memastikan pengurusan depot di seluruh negara mencapai kualiti imej yang lebih positif.

“Dari segi sumber manusia, Depot KLIA kini dikuatkan dengan 168 anggota yang mewakili 5 jabatan dan agensi di bawah KDN. 71 anggota dari Jabatan Imigresen, 8 anggota dari Jabatan Penjara, 14 – 18 anggota RELA yang bertukar mengikut syif dan seorang Liason Officer Tetap dari PDRM,” katanya.

Depot KLIA kini menempatkan sejumlah 194 tahanan dengan 26 darinya menunggu untuk dihantar pulang, pekerja asing baru yang tidak dijemput majikan 67 orang, case file 81 orang dan mangsa pemerdagangan orang 24 orang.

Selaras dengan hasrat Kerajaan untuk memulihkan Depot KLIA maka pengawai keselamatan yang bertugas di sini di mestikan melaksanakan roll call, buku pengharian di perkenalkan, perkiraan muster dilakukan sebanyak 4 kali dalam sehari dan pengiraan badan. Bahkan buku-buku pemeriksaan bangunan dan pagar keselamatan diadakan. Pelawat pula akan diperiksa raba-raba dan vendor atau kontraktor di sediakan pengiring sewaktu masuk.

“Projek pembangunan yang diluluskan setakat ini untuk depot ini ialah naik taraf pagar keselamatan, pintu kedua Sel dibina, saluran air dinaiktaraf, penghalang besi pada longkang dan menebang pokok. Kesemua projek itu di jangka siap antara November – Disember yang menelan kos sebanyak $561,500,” katanya.
–team berita ikdn


















18 September 2010
KDN Sana Sini