Sekapur Sirih
Hari kebesaran umat Islam Aidil Fitri datang lagi. Sesungguhnya kita bertuah kerana masih berpeluang merasai nikmat bulan Ramadhan dan menyambut 1 Syawal. 1 Syawal 1431H juga akan disambut di seluruh dunia dengan penuh kesyukuran dan kebahagian. Meskipun di sebahagian dunia yang lain masih bergolak dan umat Islamnya hidup tertindas namun 1 Syawal tetap memberi rasa kebahagian yang tidak mungkin dapat digambarkan dengan kata-kata.
Syukur kerana sebulan Ramadhan yang barakah berjaya dilalui dengan penuh takwa. 1 Syawal pula disambut sebagai tanda kemenangan melalui tempoh sebulan berpuasa. Nafsu berjaya ditundukkan dan jiwa kita dibersihkan dengan ibadah sepanjang bulan itu. 1 Syawal memberi peluang kepada kita untuk saling bermaafan dan mengeratkan silaturahim. Kita menjadi manusia baru pada 1 Syawal yang indah.
Ramai dari kita pasti memilih untuk meraikannya dengan sanak saudara dan ahli kelaurga. Pesan saya, sentiasa berhati-hatilah ketika memandu dan berwaspada sepanjang masa ketika berada di jalanraya. Beberapa kes kemalangan yang mengerikan wajar menjadi peringatan kepada kita untuk tidak menjadikan jalanraya sebagai tempat berlumba dan melepaskan perasaan.
Biarlah kita sedikit lambat tetapi tiba ke destinasi dalam keadaan selamat. Kepada barisan Pengurusan Tertinggi dan warga kerja KDN, saya dan isteri mengucapkan Selamat Menyambut Hari Raya Aidilfitri dan memohon diberikan kemaafan sepanjang setahun yang lalu.
Salam,
Mahmood bin Adam
Nabihah bt. Hassan

















7 September 2010
KDN Sana Sini