Adilfitri 1 Malaysia. Itulah yang boleh diibaratkan pada sambutan yang cukup meriah Rumah Terbuka Aidilfitri Menteri Dalam Negeri Dato’ Seri Hishammuddin Tun Hussein di Sembrong yang diadakan pada 25 September 2010, Sabtu lalu. Tidak kira Melayu, Cina mahupun India semuanya hadir memeriahkan.
Hampir 8,000 orang penduduk di sekitar kawasan ini hadir walaupun hujan turun dengan lebatnya menjelang petang. Ketibaan Menteri Dalam Negeri Dato’ Seri Hishammuddin Hussein bersama isteri, Datin Seri Tengku Marsilla Tengku Abdullah yang sedondon berbaju hijau di nanti-nantikan oleh orang ramai yang sabar menunggu untuk bertemu muka.
“Saya tidak menyangka sambutan kali ini begitu luar biasa sekali. Saya ucapkan terima kasih kepada semua yang hadir”, kata Dato’ Seri Hishammuddin Hussein.
Sambutan Aidilfitri itu yang bermula dari jam 2.00 hingga 5.00 petang turut dihadiri, Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Y.B. Dato’ Razali Haji Ibrahim, Presiden MCA Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek serta beberapa Exco Kerajaan negeri dan pemimpin parti komponen Barisan Nasional (BN) tempatan.
Hujan lebat tidak menghalang ribuan pengunjung memenuhi ruang padang dan gerai-gerai makanan yang disediakan sambil beramah mesra dengan pemimpin-pemimpin yang hadir. Malah Dato’ Seri Hishammuddin sendiri meredah hujan di sekitar majlis tersebut untuk berjumpa dan beramah mesra dengan orang ramai yang mahu bersalam dan bergambar dengannya. Kanak-kanak juga tidak kurangnya sanggup beratur panjang apa lagi jika tidak kerana duit raya daripada Dato’ Seri Hishammuddin Hussein dan Datin Seri Tengku Marsilla.
Pada majlis itu juga, beliau turut menyampaikan sumbangan kepada 100 orang OKU Parlimen Sembrong, jemaah-jemaah Haji, 100 unit notebook kepada sekolah-sekolah di kawasan Sembrong dan sumbangan ikhlas kepada pengerusi masjid dan surau.
–team berita ikdn


















27 September 2010
KDN Sana Sini