Pada 7hb. September 2010, Tan Sri Musa Hassan dalam sidang akhbar beliau telah mendakwa wujudnya campurtangan pihak ketiga dalam urusan pentadbiran PDRM. Berikut ialah penjelasan oleh Ketua Setiausaha KDN Dato’ Sri Mahmood b. Adam. Penjelasan ini dibuat di sidang akhbar selepas majlis serah dan terima tugas Ketua Polis Negara yang berlangsung pada 8 September. Tan Sri Musa Hassan turut hadir di sidang akhbar ini.
“Pada pagi ini kita telah lihat upacara serah tugas di antara YDH Tan Sri IGP (Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan) dan YDH Deputy IGP (Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar). Jadi saya mewakili Kementerian Dalam Negeri mengucapkan tahniah pada pelantikan dan terima kasih banyak kepada Tan Sri IGP.”
“Upacara ini dibuat hari ini, 8 hari bulan sedangkan kontrak YDH Tan Sri IGP ini tamat pada 12 hari bulan. Jadi kenapa 8 hari bulan? Kita tahu bahawa kemungkinan besok hari raya. Jadi kalau penyerahan itu tidak dibuat pada hari ini, ia akan menyebabkan gangguan di situ.”
“Jadi jika dilihat penyerahan ini penting, bukan simbolik tapi penguatkuasaan seperti penyerahan kuasa tadi. Jika dilihat kuasa IGP ini termaktub dalam perlembagaan negara. Jadi sekiranya dibiarkan kosong, akan memberi kesan kepada kuasa-kuasa polis. Oleh itu kita harus buat segera.”
“Inilah juga YB Menteri (Dato’ Seri Hishammuddin Tun Hussein) telah membuat pengumuman awal pada 1 September yang lalu tentang pertukaran pucuk pimpinan. Jadi niat kerajaan supaya proses peralihan itu dibuat sedemikian rupa adalah mengikut prosedur.”
“PDRM merupakan anggota beruniform jadi banyak aturcaranya dan banyak kaedahnya. Jadi ianya sukar dan oleh itu ianya dibuat awal. Pada saya tarikh 1 hari bulan dengan 12 hari bulan itu tidak cukup. Melalui pengalaman saya di Kementerian Pertahanan dan di sini, banyak upacara polis ini yang hendak dibuat. Jadi terpaksa dibuatkan awal. Jangan salah sangka terhadap perkara ini.”
“Kedua kalau kita lihat saya bagi pihak Kementerian Dalam Negeri dan kerajaan Malaysia sendiri pun jika dilihat kerjasama antara semua jabatan termasuk Polis Diraja Malaysia adalah baik. Hubungan KDN dan PDRM yang baik ini dapat dilihat melalui kejayaan pelaksanaan bidang keberhasilan utama negara NKRA. Kita berjaya mengurangkan jenayah indeks yang telah menurun sebanyak 15.05% dan jenyah jalanan sebanyak 37% bagi tempoh Januari hingga Ogos 2010 berbanding dengan tempoh yang sama tahun lepas. Ini dicapai melalui pelaksanaan sebanyak lebih 50 inisiatif seperti Liga Balai Polis Cemerlang, Omnipresent yang melibatkan Balai Polis Bergerak, rondaan bersama ahli RELA dan JPAM serta Polis Bantuan dari pihak swasta dan sebagainya.”
“Di peringkat Kementerian pula, Mesyuarat Pengurusan Logistik PDRM yang dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha Kementerian iaitu saya sendiri pada setiap hari Rabu diadakan bagi membincangkan perkara-perkara berkaitan sumber manusia, pengurusan, pembekalan dan kewangan bagi memastikan bahawa keperluan dan perjalanan PDRM ini berjalan dengan lancar. Jadi jika diperhatikan ini adalah sejajar dengan penambahbaikan perkhidmatan PDRM. Jadi kadang-kalanya ada penambahbaikan PDRM itu tidak dapat kita tunaikan, itu tidak bermakna kita campur tangan dalam PDRM.”
“Bagaimanapun, setakat ini segala permintaan rancangan PDRM sepertimana jabatan-jabatan kerajaan lain mestilah tertakluk kepada dasar kerajaan terutamanya kewangan dan lain-lain peraturan berkaitan. Pada masa yang sama jika dilihat kerja-kerja harian PDRM juga ada yang berkaitan dengan KDN contohnya kes-kes fail keselamatan, masalah-masalah keselamatan yang diadakan mesyuarat setiap pukul 12 selama satu jam yang dipanggil panel 12 yang dibuat setiap hari.”
“Jadi ada kalanya apa yang disyorkan oleh PDRM kita mengikut keupayaan KDN. Ini bukan campurtangan kerana sebenarnya kita berusaha untuk memenuhi dasar-dasar kerajaan yang ada. Jadi dalam hal ini, kadang-kala usul oleh pihak PDRM tidak dapat ditimbang oleh KDN jadi ianya seolah-olah dipandang ada campur tangan tetapi niat kami tidak. Kita hanya mengikut peraturan sedia ada.”
“Satu lagi isu lanjutan kontrak perkhidmatan Tan Sri IGP. Sungguhpun tidak dimaklumkan secara bertulis dan secara rasmi kepada Tan Sri IGP, tetapi kita telah berbincang bersama secara lisan. Tetapi apa yang dinyatakan oleh Tan Sri bahawa tiada surat rasmi memang saya akui. “
“Saya telah difahamkan tadi bahawa Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong telah memperkenankan apa yang telah dipersembahkan oleh YAB Perdana Menteri berkenaan usul ini pada pagi tadi. Jadi dalam hal ini kita lihat proses pelantikan KPN ini bukan mudah kerana ia tertakluk kepada perlembagaan negara hendaklah diperkenankan oleh Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong di atas nasihat YAB Perdana Menteri. Ia juga mesti diusulkan oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Polis yang dipengerusikan oleh YB Menteri Dalam Negeri dan saya sebagai Ketua Setiausaha menjadi setiausaha kepada suruhanjaya ini.”
“Jadi prosesnya begitu, ada peringkat-peringkat sehingga diperkenankan oleh Seri paduka Baginda Yang Dipertuan Agong mengikut perlembagaan negara. Tan Sri IGP dan pengurusan PDRM telah mengemukakan cadangan penyusunan semula iaitu bahagian PPSO, penyusunan semula organisasi Polis iaitu kenaikkan gred mengikut skim perkhidmatan Polis. Jika dilihat CPO atau Ketua-Ketua Polis Negeri ini ada kenaikkan gred. Jadi semuanya telah siap tetapi ada sedikit tertangguh dan saya percaya dalam mesyuarat suruhanjaya akan datang akan dapat kita selesaikan dalam masa yang terdekat.”
–team berita ikdn

















8 September 2010
KDN Sana Sini