Drama Bersiri “Di Sebalik Tirai Besi“ diterbitkan dengan hasrat untuk menyuntik rasa insaf orang awam. Bertitik tolak dari itu maka Jabatan Penjara Malaysia telah memulakan langkah penting dengan mengadakan usahasama penerbitan drama yang berkisahkan hidup penghuni penjara.

Majlis pelancaran yang telah disempurnakan oleh Datuk Wira Abu Seman b. Yusop, Timbalan Menteri Dalam Negeri pada 14 Oktober yang lalu adalah turut menyaksikan kehadiran insan seni berkaliber agar drama ini dapat dijayakan seperti mana yang diharapkan.

Mengambil peluang majlis yang dihadiri oleh dif-dif kehormat terdiri dari Ketua Pengarah, para media massa dan tidak ketinggalan Ketua Pengarah Jabtan Penjara Malaysia Datuk Wira Hj. Zulkifli Omar, Timbalan Menteri Dalam Negeri menyatakan fungsi penjara hari ini telah berubah. Ia bukan sahaja tempat menghukum tetapi juga untuk memberi pemulihan kepada penghuninya sebelum mereka dikembalikan kepada masyarakat.


“Dengan penerbitan drama ini diharapkan persepsi orang ramai berubah. Penjara hari ini ialah tempat koreksional. Dan menjadi harapan kita juga agar kadar jenayah dapat dikurangkan,” katanya.

Menurut beliau lagi drama Di sebalik Tirai Besi ini juga bertujuan untuk mendidik masyarakat awam untuk berfikiran terbuka dan menerima kembali bekas penghuni penjara ke pangkuan masyarakat.
–team berita ikdn


















19 October 2010
KDN Sana Sini