Saya memanjat kesyukuran kerana jabatan dan agensi semua hadir memeriahkan majlis kita pada hari ini. Ibarat 1 keluarga, inilah semangat 1 Malaysia kita. Demikian luahan rasa Menteri Dalam Negeri, Dato’ Seri Hishammuddin Hussein di Majlis Bersama Rakyat yang juga Sambutan Hari Raya Peringkat Kementerian Dalam Negeri.
Majlis yang telah diadakan di PULAPOL, Jalan Semarak pada 1 Oktober 2010 lalu turut dihadiri Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Wira Abu Seman Yusop, Dato’ Lee Chee Leong, Senator Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon, Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan juga Datuk Seri S Samy Vellu.
Kira-kira hampir 4,000 orang warga KDN dan penduduk di sekitar kawasan ini membanjiri padang kawad PULAPOL walaupun hujan renyai turun pada tengaharinya. Ketibaan Menteri Dalam Negeri Dato’ Seri Hishammuddin Hussein bersama isteri, Datin Seri Tengku Marsilla Tengku Abdullah tetap dinanti meskipun padang itu berbecak air.
“Saya yakin sepenuhnya bahawa dengan kerjasama erat ini, kita mampu melaksanakan tugas dan menyampaikan perkhidmatan terbaik berkaitan urusniaga utama kementerian”, kata Dato’ Seri Hishammuddin Tun Hussein.
Sambutan Aidilfitri yang bermula dari jam 2.30 hingga 7.00 petang itu turut dimeriahkan dengan gerai-gerai pameran KDN dan jabatan/agensi seperti RELA, Jabatan Penjara Malaysia, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia, Jabatan Pertubuhan Persatuan Malaysia dan Jabatan Pendaftaran Negara.
Pada majlis itu juga, beliau turut menyampaikan sumbangan kepada Orang Kurang Upaya (OKU), anak-anak yatim dan cek bernilai RM 10 ribu kepada Unit Hemodialisis PDRM.
Turut hadir Ketua Setiausaha KDN, Dato’ Sri Mahmood bin Adam bersama isteri, Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail bin Hj. Omar dan juga Pengurusan Tertinggi KDN.
–team berita ikdn


















2 October 2010
KDN Sana Sini