KDN komited dalam mencapai sasaran untuk memproses dan mengeluarkan keputusan permohonan kewarganegaraan khususnya yang diterima antara tahun 2001 – 2009. Sejumlah 29,667 permohonan kewarganegaraan telah diterima oleh KDN bagi tempoh itu dan ianya dijangka akan dapat diselesaikan pada penghujung tahun ini.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Wira Abu Seman Yusop berkata “Sasaran ini adalah kesinambungan kepada usaha kita untuk mencapai KPI berkaitan kewarganegaraan.”

Beliau hadir menyempurnakan Penganugerahan Taraf Kewarganegaraan kepada 80 orang penerima yang terdiri dari pelbagai bangsa dan keturunan yang diadakan di Melaka pada 5 Oktober yang lalu.

“Bersyukur dan hargailah anugerah kewarganegaraan yang diterima hari ini dengan menjadi seorang rakyat Malaysia yang cintakan tanah air dan berbakti demi kemajuan negara”, antara pesanan yang beliau sampaikan kepada penerima bertuah.

Salah seorang penerima, R. Subramaniam, 56, ketika ditemui melahirkan rasa gembira dan bersyukur dengan penganugerahan kewarganegaraan yang disifatkannya sebagai anugerah teristimewa. Beliau yang berasal dari Jinjang, Kuala Lumpur telah kehilangan sijil kelahirannya ketika kecil dan sejak itu beliau terpaksa menggunakan kad pengenalan merah.

Penerima kemudiannya menyanyikan lagu Negaraku dan lafaz ikrar taat setia kepada negara.
–team berita ikdn


















7 October 2010
KDN Sana Sini