Majlis Kebangsaan Pertubuhan Wanita Malaysia (NCWO) telah menganjurkan Kempen Anti Pemerdagangan Orang Peringkat Negeri Perak yang telah dirasmikan oleh Dato’ Hamidah binti Osman, Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Perak di Politeknik Premier Ungku Omar, Ipoh, Perak. Majlis perasmian tersebut turut dihadiri oleh Timbalan Ketua Setiausaha (K) Kementerian Dalam Negeri, Dato’ Abdul Rahim bin Mohd Radzi .
Ceramah pengenalan dan kesedaran telah diadakan oleh wakil NCWO dan Polis Diraja Malaysia kepada tetamu yang terdiri daripada pegawai-pegawai kerajaan, ahli-ahli badan bukan kerajaan dan pelajar. Tetamu juga telah didedahkan tentang kesan pemerdagangan manusia terhadap mangsa, individu dan negara.
Rata-rata tetamu mengakui bahawa kempen seperti ini adalah perlu diadakan kerana ramai yang masih tidak menyedari tentang musibah yang menimpa akibat sindiket pemerdagangan orang. Kakitangan SUK Negeri Perak, Nazatul Halipah berpendapat bahawa kempen seperti ini perlu lebih aktif diadakan kerana masyarakat awam masih tidak mengetahui dengan lebih mendalam mengenai pemerdangan orang terutamanya apabila menyentuh berkenaan dengan Akta Pemerdangan Orang 2007 yang telah mula dikuatkuasakan pada Februari 2008.
Pelajar Sekolah Raja Chulan, Ipoh, Lian Jun Leong pula menyatakan beliau mendapat banyak maklumat baru mengenai pemerdagangan manusia. Pengetahuan yang diterima ini akan dikongsi bersama dengan rakan-rakan yang lain.
Pegawai Perhubungan Awam Politeknik Ungku Omar, Hasmiza binti Hussain pula memuji usaha murni NCWO dan KDN. Walaubagaimanapun, beliau berpendapat kempen yang diadakan perlu lebih menyeluruh kerana ramai yang masih samar-samar mengenai bahana pemerdagangan orang.
Wakil Majlis Perwakilan Pelajar Politeknik Premier Ungku Omar, Mohd Bahrin Bin Tahir pula mencadangkan agar Persatuan Ibu Bapa (PIBG) di setiap sekolah memberikan kerjasama supaya program seperti ini mencapai matlamatnya iaitu memberi kesedaran dan pendidikan bermula daripada peringkat sekolah lagi.
Peserta daripada Persatuan Penggalakan Kesihatan Jiwa Negeri Perak, Angeline George berkata beliau mula mengetahui berkenaan pemerdangan orang melalui kes-kes yang telah dilaporkan oleh media. Kempen-Kempen seperti ini adalah pembuka minda kepada setiap masyarakat kerana ramai yang tidak mengetahui tentang jenis-jenis jenayah yang boleh diklasifikasikan sebagai pemerdangan orang. Beliau juga yang aktif di dalam program-program kemasyarakatan terutamanya berkenaan dengan kebajikan dan pembangunan wanita akan terus memberikan sokongan terhadap program Anti Pemerdangan Orang ini.
Antara strategi untuk memperkasakan Kempen Anti Pemerdangan Orang ini ialah melalui program “Training for Trainers”. Melalui program ini, pegawai-pegawai yang terpilih akan diberikan latihan supaya mereka dapat menyampaikan maklumat kempen ini. Antara pelatih yang turut hadir di majlis pelancaran ini ialah Nurhafizah binti Mohd Hanafi yang telah menjalankan aktiviti kempen Anti Pemerdagangan Orang ini di sekolah-sekolah di sekitar negeri Perak. Beliau menyatakan kesungguhan semua pihak di dalam menjayakan program-program yang dianjurkan amatlah penting supaya Malaysia bebas daripada menjadi menjadi pusat atau transit pemerdagangan orang.
–team berita ikdn


















16 October 2010
KDN Sana Sini