web analytics

KENYATAAN AKHBAR KSU: Pengurusan Depot Jabatan Imigresen Malaysia Menerima Peruntukan Khas Sebanyak RM 100 juta

8 October 2010

KDN Sana Sini

KENYATAAN AKHBAR
KETUA SETIAUSAHA
KEMENTERIAN DALAM NEGERI
08HB OKTOBER 2010

Pengurusan Depot Jabatan Imigresen Malaysia Menerima Peruntukan Khas Sebanyak RM 100 juta

1. Kementerian Kewangan Malaysia pada 5 Oktober 2010 telah bersetuju memperuntukkan sejumlah RM 100 juta kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) yang perlu dibelanjakan dalam tahun 2010 bagi tujuan penambahbaikan semua depot-depot Jabatan Imigresen di seluruh Malaysia.

2. Bagi tujuan tersebut, KDN akan menggunakan peruntukan berkenaan untuk menaik taraf tahap keselamatan di kesemua 12 depot- Imigresen di Malaysia menerusi pembinaan pagar keselamatan yang lengkap dengan ciri kamera litar tertutup serta sistem penggera yang dipantau secara berpusat.

3. Sehubungan dengan itu KDN telah mengenalpasti jenis peralatan yang akan diperolehkan demi memastikan mutu kerja di depot-depot berkenaan sentiasa berada pada tahap yang baik.

4. Bagi memastikan bahawa peruntukan ini dibelanjakan di dalam tempoh masa yang ditetapkan, Kementerian Dalam Negeri telah mengambil inisiatif-inisiatif berikut:

4.1 6 Oktober 2010 – Satu sesi dialog dan soal jawab yang dipengerusikan oleh YBhg Dato Sri Mahmood Adam, Ketua Setiausaha, Kementerian Dalam Negeri bersama Pengurusan Tertinggi Kementerian yang turut disertai oleh semua Komandan Depot serta para Pengarah Imigresen, RELA dan Jabatan Pertahanan Awam Negeri. Sesi ini telah berjaya mengenalpasti keperluan-keperluan mendesak di setiap depot yang memerlukan perhatian segera.

4.2 7 Oktober 2010 – Mesyuarat bersama semua Pengarah Imigresen Negeri yang dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri. Menerusi sesi ini, semua negeri telah diarah untuk membelanjakan peruntukan yang diberikan berdasarkan keperluan masing-masing.

5. Kementerian menjangka menerusi pemberian peruntukan ini, mutu pengurusan dan kawalan di Depot-depot Imigresen di seluruh Malaysia akan dapat dipertingkatkan ke tahap yang lebih tinggi ke arah mencapai tahap-tahap piawaian yang telah ditetapkan di peringkat antarabangsa.

Dato’ Sri Mahmood bin Adam
Ketua Setiausaha
Kementerian Dalam Negeri
8 Oktober 2010