web analytics

KENYATAAN AKHBAR: Respon kepada Laporan Akhbar Berkaitan Tangkapan Pegawai Imigresen oleh Suruhanjaya Pencegahan Rauah Malaysia

5 October 2010

Teks Ucapan MDN & TMDN

RESPON KEPADA LAPORAN AKHBAR BERKAITAN TANGKAPAN PEGAWAI IMIGRESEN OLEH SURUHANJAYA PENCEGAHAN RASUAH MALAYSIA
Putrajaya, 5 Oktober 2010 (Selasa)

Laporan akhbar berkaitan kes penangkapan pegawai-pegawai Jabatan Imigresen oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) adalah dirujuk dan ditegaskan bahawa Pengurusan Tertinggi Kementerian Dalam Negeri (KDN) komited memberikan kerjasama yang sepenuhnya kepada agensi penguatkuasaan yang berkenaan untuk membanteras rasuah dan memperbaiki isu-isu integriti di semua Jabatan di bawah KDN.

YB. Menteri Dalam Negeri kerap mengingatkan dan menasihatkan agar Pengurusan Tertinggi KDN dan JIM serta seluruh warga Kementerian agar memberikan perkhidmatan yang telus, bersih, cekap dan amanah.

Kementerian turut mengadakan Mesyuarat Jawatankuasa Khas Membincangkan Isu-Isu Imigresen pada 4 Oktober 2010 yang bertujuan meneliti punca penyalahgunaan kuasa masih berlaku dan kaedah untuk penambahbaikan.

Antara langkah-langkah pembetulan segera ialah melaksanakan pertukaran dan penempatan baru pegawai yang bertugas lama di sesuatu tempat demi menyahut Dasar Pengurusan Sumber Manusia di dalam Perkhidmatan Awam.

Pada masa yang sama, Kementerian dan Jabatan juga melaksanakan langkah-langkah pencegahan seperti menyelesaikan isu di dalam Jawatankuasa Khas, Mesyuarat Top 6, Jawatankuasa Pemantauan Perkhidmatan Jabatan Imigresen Malaysia dan JAKRIM bagi membuat keputusan ke atas permohonan dan aduan.

Kementerian Dalam Negeri selaku Sekretariat Tetap Pemantauan Pelaksanaan Inisiatif Makmal Pengurusan Warga Asing memastikan Jabatan Imigresen dapat melaksanakan sebanyak 11 inisiatif dan mengkaji 6 inisiatif bagi memantapkan peranan dan fungsi Jabatan Imigresen Malaysia di dalam pengurusan warga asing di Malaysia.

Oleh yang demikian, saya memohon kerjasama orang ramai memberikan maklumat dan membuat laporan kepada pihak berkuasa agar kegiatan yang menyalahi peraturan dan undang-undang dapat dibanteras. Kementerian tidak akan berkompromi dengan semua pegawai dan kakitangan di dalam KDN yang tidak mematuhi undang-undang negara terutama dalam pengurusan warga asing.

Dato’ Lee Chee Leong
Timbalan Menteri Dalam Negeri
5 Oktober 2010