KENYATAAN MEDIA
Y.B. DATUK WIRA ABU SEMAN BIN YUSOP
TIMBALAN MENTERI DALAM NEGERI
LAWATAN KERJA KE REPUBLIK ISLAM IRAN
26 – 30 SEPTEMBER 2010
1. Lawatan kerja ke Republik Islam Iran yang diketuai Y.B. Datuk Wira Timbalan Menteri Dalam Negeri telah diadakan pada 26 – 30 September 2010. Y.B. Datuk Wira Timbalan Menteri Dalam Negeri diiringi Tuan Haji Lasimon Bin Matokrem, Pengarah Pencegahan, Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dan SAC Haris Wong Bin Abdullah, Ketua Penolong Pengarah (Risikan/Operasi), Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Polis DiRaja Malaysia (PDRM). Turut mengiringi delegasi lawatan adalah H.E. Mohamad Sadik Kethergany, Duta Malaysia ke Republik Islam Iran.
2. Sepanjang lawatan kerja selama 5 hari ini, perjumpaan telah diadakan bersama YDH Ali Abdollahi, Timbalan Menteri Dalam Negeri Republik Islam Iran, H.E. Dr. Fathollahi, Timbalan Menteri Luar Negeri Asia dan Pasifik, Brigadier General Hamid Reza Hossein Abadi, Ketua Komander Polis Anti Narkotik dan YDH Taha Taheri, Timbalan Setiausaha Agung Drug Control Headquarters (DCHQ).
3. Tujuan lawatan kerja ini adalah untuk mengenalpasti bentuk kerjasama dan aktiviti yang boleh dijalankan di antara kedua-dua negara seperti dipersetujui di dalam Memorandum Persefahaman (MoU) yang telah ditandatangani di antara kedua-dua negara pada 23 Disember 2008.
4. Y.B. Datuk Wira Timbalan Menteri Dalam Negeri telah membangkitkan isu warga Iran yang ditangkap kerana kesalahan mengedar dadah. Statistik tangkapan warga Iran menunjukkan peningkatan yang ketara dalam masa dua (2) tahun di mana sehingga 5 Oktober 2010 seramai 138 warga Iran telah ditangkap berbanding 16 orang sepanjang tahun 2009. Dari jumlah 138 orang yang ditangkap, seramai 121 orang adalah kurier atau keldai dadah dan bakinya adalah disyaki operator dan ahli sindiket dadah.
5. Statistik jumlah rampasan dadah sehingga 5 Oktober 2010 adalah seperti berikut:
Jenis dadah Kuantiti (kg)
Syabu 288.65
Cecair Syabu 466
Minyak Syabu 327
Dadah (disyaki kokain) 4
6. Warga Iran telah dieksploitasi oleh sindiket dadah untuk menjadi keldai dadah (drug mules). Sehubungan itu, Y.B. Datuk Wira Timbalan Menteri Dalam Negeri menekankan kepentingan untuk Malaysia dan Republik Islam Iran bekerjasama untuk menyekat laluan masuk dadah di antara kedua-dua negara.
7. Jenis dadah utama yang sering diseludup masuk adalah jenis Amphetamine Type Stimulants (ATS). Maklumat PDRM menunjukkan bahawa dadah jenis syabu turut diseludup menggunakan kargo udara. Penerbangan daripada Tehran akan melalui transit Dubai, Armenia, Kish, Doha, Colombo sebelum ke KLIA, Malaysia.
8. Pihak Republik Islam Iran telah memberi respon yang positif kepada delegasi Malaysia. Mereka bersetuju agar kerjasama di antara kedua – dua agensi penguatkuasa dapat mempertingkatkan hubungan bilateral dan menyarankan supaya satu pelan tindakan dirangka secara bersama-sama yang merangkumi bidang-bidang kerjasama seperti:
i. Mesyuarat bilateral secara berkala diadakan di antara kedua-dua agensi penguatkuasa;
ii. Pertukaran maklumat dan kerjasama untuk menyekat warga Iran menjadi keldai dadah;
iii. Perkongsian kepakaran di dalam mengesan perjalanan sindiket dadah, modus operandi dan sebagainya;
iv. Satu working group akan ditubuhkan untuk meningkatkan kerjasama di dalam mengenalpasti mekanisma membasmi penagihan dan penyeludupan dadah;
v. Perkongsian pengetahuan dan pengalaman di dalam melaksanakan undang-undang untuk menghapuskan sindiket dadah seperti perlucuthakan harta dan penggubahan wang haram; dan
vi. Pertukaran informasi di dalam bidang jenayah yang lain seperti pemerdagangan orang dan jenayah siber.
9. Selain itu, hasil perbincangan mendapati Republik Islam Iran merupakan salah satu negara Islam pertama yang melaksanakan program Harm Reduction dan Methadone Maintainance Therapy (MMT). Program ini berjaya menarik lebih 100,000 penagih dadah. Hasil perlaksanaan program rawatan tersebut, Republik Islam Iran telah mendapat pengiktirafan daripada United Nations Office on Drugs and Crime (UNODC) sebagai di antara negara terbaik dalam merawat penagih dadah.
10. Tambahan, delegasi Malaysia dimaklumkan bahawa pelaksanaan program Harm Reduction berjaya mengurangkan penyebaran HIV/AIDS di Republik Islam Iran.
11. Melalui lawatan kerja ini juga, delegasi Malaysia dapat mempelajari salah satu kaedah rawatan di Republik Islam Iran iaitu ‘Triangular Clinics’ yang menyediakan perkhidmatan kesihatan yang komprehensif kepada penagih dadah. Diharap program-program di klinik tersebut dapat diserap dan dilaksanakan di Klinik C&C (Cure and Care) 1Malaysia (PUSPEN terbuka), yang telah mula beroperasi sejak 1 Julai 2010.
12. Delegasi Malaysia telah dimaklumkan bahawa Badan Bukan Kerajaan (NGO) turut memainkan peranan yang penting di Republik Islam Iran terutamanya di dalam mencapai golongan tertentu seperti wanita, kanak-kanak, penagih dadah dan banduan.
13. Delegasi Malaysia turut berpeluang melihat hubungan yang kuat di antara pusat perubatan dan universiti dengan pusat pemulihan di Republik Islam Iran di dalam meningkatkan perkhidmatan dan membuat kajian mengenai penagih dadah di sana.
14. Lawatan kerja ini merupakan langkah permulaan di dalam hubungan dua hala di antara Malaysia dan Republik Islam Iran. Delegasi Republik Islam Iran telah bersetuju di atas jemputan Y.B. Datuk Wira Timbalan Menteri Dalam Negeri untuk mengadakan lawatan balas ke Malaysia di dalam jangka masa pendek yang akan datang.
Diedarkan pada:
08 Oktober 2010
Bahagian Komunikasi Korporat
Kementerian Dalam Negeri


















8 October 2010
Teks Ucapan MDN & TMDN