Malaysia dan Australia akan bekerjasama erat dalam menjadi perintis pembangunan akademi cegah jenayah di rantau Asia Tenggara di samping akan berkongsi teknologi biometrik di sempadan negara masing-masing.

Komitmen ini dicapai dalam sesi perbincangan antara delegasi Australia yang diketuai oleh Menteri Imigresen dan Kewarganegaraan, HE Chris Bowen dengan Dato’ Seri Hishammuddin Tun Hussein Onn dan pengurusan tertinggi KDN dan PDRM semasa kunjungan hormat delegasi tersebut di Menara PDRM pada 14 Oktober lalu.
Perjumpaan yang berlangsung lebih sejam itu antara lain membincangkan mengenai isu-isu jenayah rentas sempadan yang semakin serius seperti pemerdagangan orang, penyeludupan senjata dan dadah serta jenayah keganasan.

“Oleh kerana KDN sedar betapa seriusnya jenayah antarabangsa ini, kita mengambil inisiatif untuk mewujudkan satu akademi khusus untuk menganalisis dan mengkaji modul pencegahan jenayah-jenayah ini. Kita akan melibatkan Bank Negara dan agensi-agensi lain termasuk agensi keselamatan antarabangsa seperti CIA dan FBI,” katanya.

Menyokong idea KDN menubuhkan akademi berkenaan, HE Chris Bowen turut menjelaskan bahawa Kementeriannya juga sedang dalam proses cadangan untuk menubuhkan sebuah kolej keselamatan nasional yang sama fungsinya sepertimana akademi yang dicadangkan oleh Malaysia.
“Kami sangat menghargai komitmen dan kerjasama yang diberikan oleh pihak PDRM dan kerajaan Malaysia kepada Australia selama ini. Jadi kami memang memberi sokongan 100% kepada Malaysia dan KDN dalam pembangunan akademi ini,” kata beliau.

Dalam perbincangan yang sama, beliau turut memaklumkan bahawa pihaknya sedang dalam fasa pembangunan sistem biometrik canggih bernilai 600 juta dollar bagi mengesan individu yang keluar masuk di sempadan negara. Beliau turut mengalu-alukan pihak KDN khususnya Jabatan Imigresen Malaysia untuk terlibat sama.

Turut hadir dalam perjumpaan berkenaan ialah Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar dan Timbalan Ketua Setiausaha (Keselamatan), Dato’ Abdul Rahim bin Mohd Radzi.
– team berita ikdn.


















15 October 2010
KDN Sana Sini