web analytics

Lembaga Sensor Filem Indonesia Lawat KDN

7 October 2010

KDN Sana Sini

Indonesia juga berhadapan dengan masalah yang sama berhubung dengan konten filem terbitan karyawannya. Keadaan ini dapat dilihat melalui sesi soal jawab antara Lembaga Sensor Filem Indonesia (LSF) dan Bahagian Kawalan Penapisan dan Penguatkuasaan (KF) KDN. LSF yang membawa seramai 10 orang anggotanya telah bertandang ke KDN pada 20 September yang lalu telah diberikan taklimat mengenai sejarah, peranan dan tindakan yang telah diambil oleh KF. Dr. Mukhlis Paeni selaku Ketua LSF menjadi ketua rombongan.

Antara perkara menarik yang turut diketengahkan ialah kritikan yang diterima oleh LSF apabila satu-satu filem terpaksa ditapis. Pelbagai pandangan dilontarkan kepada LSF oleh pihak yang berkepentingan. Bahkan LSF tidak terkecuali dari dikritik oleh ulama negara itu. Bak kata Dr. Mukhlis antara ayah dan emak yang mana satu perlu didahulukan.

Seringkali soal kreativiti dalam karya dibangkitkan dengan alasan penapisan filem telah membuatkan industri itu tidak berkembang seperti yang diharapkan. Pada masa yang sama elemen budaya dan sensitiviti agama tidak wajar diketepikan.

Antara LSF dan KF kelihatannya membawa wadah yang sama penting. Kedua-duanya mempunyai persamaan yang amat dekat antara satu sama lain. Pengkarya filem tidak wajar mempertaruhkan keselamatan negara dan ketenteraman awam diperjudikan dalam karya mereka.

–team berita ikdn