web analytics

MAKLUMBALAS ADUAN AKHBAR SINAR HARIAN BERTAJUK CIP MyKAD TIDAK BERFUNGSI” BERTARIKH 11 OKTOBER 2010, ISNIN – M.S. S9 (MELAKA TENGAH 2)

15 October 2010

Surat Kepada Pengarang

SEGERA DENGAN FAKS
Ruj. Kami : JPN.PT:163/2/3/1 Klt.19 ( 43 )
Tarikh : 13 Oktober 2010

Ketua Pengarang
Sinar Harian,

Tuan,

MAKLUMBALAS ADUAN AKHBAR SINAR HARIAN BERTAJUK CIP MyKAD TIDAK BERFUNGSI” BERTARIKH 11 OKTOBER 2010, ISNIN – M.S. S9 (MELAKA TENGAH 2)

Dengan hormatnya, saya diarah merujuk kepada perkara di atas.

2. Jabatan Pendaftaran Negara Malaysia (JPN) memohon maaf di atas kesulitan yang dihadapi oleh Encik Zainal Abu Bakar berkenaan cip MyKad. JPN memandang serius isu kualiti MyKad dan sentiasa menjalankan ujian ketahanan cip dan fizikal MyKad. MyKad yang telah siap juga diuji bagi tujuan pengesahan kefungsian cip MyKad sebelum diserahkan kepada pemohon sewaktu proses serahan MyKad dibuat di kaunter.

3. Namun begitu, diakui bahawa masih terdapat kes cip MyKad yang gagal berfungsi selepas beberapa bulan dikeluarkan. Bagi mengenalpasti punca permasalahan tersebut JPN melaksanakan ujian analisa kegagalan cip. Pihak Jabatan juga telah memaklumkan kepada pihak pembekal untuk membuat tindakan penyelesaian pada permasalahan yang sering berlaku pada cip MyKad.

4. Merujuk kepada proses menyiapkan MyKad di JPN Melaka (05.10.2010), pada hari kejadian pihak JPN Melaka telah menghadapi masalah gangguan sistem dan ini telah mengganggu kelancaran proses pengeluaran MyKad dan menyebabkan MyKad tidak dapat disiapkan dalam tempoh 2 jam. Permasalahan tersebut sedang diambil tindakan baik pulih oleh Jabatan ini. Pihak JPN memohon maaf diatas sebarang kesulitan yang dihadapi oleh pengadu semasa berurusan di JPN.

5. Sehubungan dengan itu bagi pemohon MyKad di Melaka, mohon kerjasama untuk membuat semakan di talian telefon 06-2326600/06-2326881 untuk memastikan MyKad tersebut boleh dikutip dalam tempoh 2 jam selepas selesai membuat permohonan MyKad.

6. Ingin dijelaskan juga bahawa Mykad memerlukan penjagaan rapi untuk menjamin jangka hayat kad yang maksimum. Cip perlu diberi perhatian khusus dan dilindungi dari faktor – faktor yang boleh menyebabkan kerosakan supaya Mykad dapat digunakan tanpa sebarang masalah. Antara tip – tip bagi penjagaan Mykad yang betul adalah seperti berikut:

a) Elakkan Mykad daripada terdedah kepada suhu yang terlampau tinggi,
b) Elakkan daripada aktiviti yang boleh merosakkan cip,
c) Elakkan Mykad daripada terdedah kepada air, bahan kimia dan asid yang boleh menjejaskan ketahanan Mykad,
d) Elakkan daripada merosakkan permukaan Mykad,
e) Elakkan daripada risiko yang boleh mengakibatkan kad bengkok

Sekian, terima kasih.

“BERKHIDMAT UNTUK NEGARA”

Saya yang menurut perintah.

(JAINISAH BINTI MOHD NOOR)
Pegawai Perhubungan Awam,
b.p Ketua Pengarah,
Jabatan Pendaftaran Negara,
Malaysia.

 : 03-88807077
 : 03-88808288
 : pro@jpn.gov.my

s.k.: 1. Y. Bhg. Dato’ KPPN
2. Y. Brs. Tuan TKPPN (P)
3. Y. Brs. Tuan TKPPN (O)