Dengan kerjasama semua warga Jabatan Imigresen Malaysia, saya akan menerapkan konsep kaizen dalam Jabatan ini. Begitu tekad Ketua Pengarah JIM yang baru, Dato’ Alias bin Ahmad ketika sesi sidang media di JIM pada 15 Oktober 2010 yang lalu.
“Konsep ini ialah bagaimana kita menjadikan usaha peningkatan secara konsisten sebagai amalan hidup. Saya akan mengekalkan semua dasar JIM sedia ada dengan membuat beberapa penambahbaikan di mana yang perlu,” katanya.
Dato’ Alias yang meluangkan masa lebih kurang setengah jam bertemu dan menjawab soalan-soalan dari pihak media pada hari pertama beliau bertugas di JIM turut menyeru media agar tidak prejudis dalam pelaporan mereka sehingga hanya isu-isu negatif yang diketengahkan.
“Janganlah asyik memandang yang buruk-buruk mengenai JIM. Tugas dan tanggungjawab JIM berat. Bukan sahaja terhad kepada kawalan pintu masuk, tetapi juga kawalan depot dan isu pendatang asing,” kata beliau.
Dalam sidang media yang sama, beliau turut menolak untuk memberi sebarang komen mengenai isu-isu panas mengenai JIM kerana ini ialah hari pertama beliau mengambil alih jawatan berkenaan.
“Pendekatan saya adalah mudah iaitu sentiasa berbincang dengan agensi-agensi berkaitan, pengarah dan pegawai-pegawai bawahan saya. Selain itu perlu diingat bahawa setiap keputusan hanya akan dibuat selepas perbincangan dengan Menteri dan pengurusan tertinggi KDN, agar selari dengan dasar dan polisi KDN,” katanya yang mengakui beliau ialah seorang yang “camera-shy” justeru lebih senang memberi laluan kepada Menteri dan Ketua Setiausaha KDN dalam membuat sebarang kenyataan media.
“Terima kasih kerana sudi datang pada hari ini. Saya memahami konteks tugas anda sebagai media dan saya menganggap ini sebagai satu cabaran. Berilah saya masa dan insyaallah kita akan bekerja bersama-sama”, katanya kepada semua perwakilan media.
Dato’ Alias pernah berkhidmat selama lima tahun di Bahagian Kabinet Jabatan Perdana Menteri dan tujuh tahun di Majlis Keselamatan Negara sebelum ditempatkan di KDN. Selain sebagai Setiausaha Bahagian Keselamatan dan Ketenteraman Awam KDN, beliau turut pernah dilantik sebagai Ketua Makmal Warga Asing pada April 2010. – team berita ikdn


















19 October 2010
KDN Sana Sini