PETIKAN PENTING Y.B DATO’ SERI HISHAMMUDDIN BIN TUN HUSSEIN DALAM SIDANG MEDIA SELEPAS KUNJUNGAN HORMAT OLEH HE CHRIS BOWEN, AUSTRALIA MINISTER OF IMMIGRATION & CITIZENSHIP DI MENARA PDRM, BUKIT AMAN PADA 14 OKTOBER 2010

1. KUNJUNGAN HORMAT OLEH MENTERI IMIGRESEN DAN KEWARGANEGARAAN AUSTRALIA, HE CHRIS BOWEN
• Dato’ Seri mengalu-alukan kunjungan HE Chris Bowen ke Malaysia dan kompleks Bukit Aman.
• Beliau menyifatkan perbincangan berjalan dengan sangat lancar dan produktif.
• Antara perbincangan yang ditekankan ialah mengenai jenayah rentas sempadan, kerjasama kawalan keselamatan antara kedua-dua negara dan rantau Asia Tenggara dan lain-lain isu keselamatan.
• HE Chris Bowen menyifatkan bahawa hubungan antara Malaysia dengan Australia dalam bidang keselamatan dan imigresen berada di kedudukan kelas pertama dan di tahap yang negara lain pasti akan cemburui.
• Australia menghargai komitmen dan kerjasama yang diberikan oleh Dato’ Seri dan KDN dalam usaha menangani jenayah serantau dan isu-isu keselamatan lain.
• Beliau turut memaklumkan bahawa dalam perbincangan yang sama, persetujuan telah dicapai untuk bekerjasama dengan lebih erat dalam pembangunan sistem pengesanan biometrik, akademi cegah jenayah dan lain-lain.
2. KES PEMBUNUHAN DATO’ SOSILAWATI
• Dato’ Seri memaklumkan bahawa keempat-empat suspek utama pembunuhan Datuk Sosilawati telah pun didakwa di mahkamah. Ini bermakna apa-apa perkara berkaitan adalah bersandarkan apa yang telah saya katakana di dalam Dewan Rakyat pada hari Isnin lalu iaitu berkaitan tuduhan dan tohmahan tidak berasas kepada pihak PDRM.

3. PELANTIKAN EMPAT ORANG PENGARAH DALAM PASUKAN PDRM
• Ketua Polis Negara telah mengumumkan empat pengarah baru yang dilantik dalam pasukan PDRM. Ini menunjukkan proses penstrukturan semula, kenaikan pangkat dan perjawatan PDRM telah pun bermula. Proses ini adalah berterusan dan satu lagi mesyuarat SPP akan diadakan pada 29 Oktober akan datang. Dalam mesyuarat tersebut, akan dibincang dan diumumkan pengisian, pengesahan, kenaikan pangkat dan penstrukturan semula perjawatan PDRM terutamanya di peringkat negeri yang mana jawatannya telah kosong kerana telah dinaikkan pangkat menjadi pengarah.

4. ISU PENAHANAN PEGAWAI IMIGRESEN DI BAWAH AKTA KESELAMATAN DALAM NEGARA (ISA)
• Mengesahkan bahawa ada di antara mereka telah ditahan di bawah ISA dan sebahagian daripada mereka ialah pegawai Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) sendiri. Perkara ini adalah sangat serius dan berbahaya sehingga kerajaan perlu mengambil tindakan ini. Perlu ditekan, ini hanyalah minoriti dari jumlah pegawai dan penguatkuasa JIM yang berintegriti.
• Penahanan ini bukan sahaja berkisar kepada isu pemerdagangan orang, tetapi lebih kepada konteks jenayah antarabangsa, bersekongkol dengan ketua-ketua sindiket yang melibatkan pintu masuk negara. Kita telah lama memantau aktiviti pegawai-pegawai yang ditahan ini dan kita memang tidak akan membenarkan amalan seperti ini dibiarkan.
• Ia juga melibatkan penyeludupan manusia, penyeludupan dadah, money laundering, keganasan, penyeludupan senjata dan lain-lain adalah antara isu-isu jenayah serius yang sedang kita usahakan kerjasama dengan negara-negara lain termasuk Australia pada hari ini.
• Kita akan memberi maklumat kepada media dari masa ke masa mengenai perkembangan siasatan kes ini kerana selain tidak mahu mengganggu perjalanan siasatan, tetapi ia melibatkan pelbagai jenayah serius yang turut melibatkan negara-negara lain. Justeru, ia memerlukan penelitian yang menyeluruh sebelum kes ini dibawa ke mahkamah terbuka.


















15 October 2010
Teks Ucapan MDN & TMDN