web analytics

Teks Ucapan MDN: Majlis Penganugerahan Tokoh Wartawan Negara

6 October 2010

KDN Sana Sini

YB. Dato’ Seri Hishammuddin Tun Hussein
Menteri Dalam Negeri

Majlis Penganugerahan Tokoh Wartawan Negara
Hadiah Kewartawanan Malaysia MPI-PETRONAS
3.00 petang, 6 Oktober 2010
Di Sime Darby Convention Centre, Kuala Lumpur

Assalamu’laikum wbt.,
Saudara Pengerusi Majlis,

YBhg Datuk Chamil Wariya
Ketua Pegawai Eksekutif MPI

YBhg Tan Sri Zainuddin Maidin
Pengerusi Panel Pemilih

Encik Mohd Medan Abdullah
Wakil Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif Petronas
Pengurus Besar Kanan, Bahagian Khidmat Korporat Petronas

Serta Pengerusi-pengerusi media, Ketua-ketua pengarang serta ‘keluarga besar’ media massa tanahair.

1. Segala kesyukuran kita panjatkan ke hadrat Allah SWT, yang memungkinkan kita semua berada di dewan yang indah ini, bagi menjayakan Majlis Penganugerahan Tokoh Wartawan Negara, Hadiah Kewartawanan Malaysia MPI-PETRONAS 2009.

2. Saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih kepada pihak penganjur, melalui kerjasama strategik MPI PETRONAS di atas undangan yang dipanjangkan kepada saya untuk menyampaikan anugerah kepada individu yang terpilih untuk diisytiharkan sebagai Tokoh Wartawan Negara sebentar lagi.

3. Saya sememangnya berasa cukup bertuah, untuk diberikan kesempatan untuk bersama dengan ‘keluarga’ pengamal media di petang yang amat bermakna ini. Adalah menjadi harapan saya, agar hubungan baik sesama kita dapat kekal berpanjangan – dalam kita mengisi peranan masing-masing di dalam usaha ‘nation-building’ yang lebih bermakna dan menjanjikan kemakmuran.

4. Anugerah Tokoh Wartawan Negara yang diperkenalkan pada tahun 1988 mencapai prestijnya yang sangat tinggi. Selama hampir dua dekad, hanya tujuh orang individu daripada kalangan fraterniti wartawan yang mencapai tahap tertinggi itu. Satu piawai yang tinggi telah ditetapkan untuk bergelar Tokoh Wartawan Negara. Hanya wartawan yang benar-benar telah mencapai tahap par excellence dalam dunia kewartawanan yang diceburi, berupaya meraih gelaran tersebut.

5. Bagi saya Tokoh Wartawan Negara wajar dijadikan ikon untuk diteladani oleh generasi baru bidang kewartawanan bagi mencapai tahap kegemilangan yang dihajatkan. Sudah barang tentu, ianya tidak datang secara mudah. Yang pipih tidak datang melayang; yang bulat tidak datang bergolek. Saya yakin, ianya menuntut pengorbanan, kesungguhan, komitmen dan iltizam yang luar biasa.

6. Bidang kewartawanan ini juga menuntut kita melaksanakan tugas dan amanah secara penuh beretika dan beradab. Apatah lagi dalam keadaan lanskap politik dan asas hubungan antara kaum di Negara ini yang boleh sahaja dieksploitasi ke arah yang tidak positif dan meresahkan. Semua ini memerlukan ‘asas nilai dan etika kewartawanan’ yang tinggi.

Peranan Wartawan Dalam ‘Nation-Building’

7. Hari ini, ‘kuasa pena’ sudah bertukar menjadi ‘gabungan kuasa jari jemari dan jalur lebar’ yang luar biasa pantas. Nilai berita tidak lagi berumur sehari atau 24 jam. Malahan, tempoh masa 2-3 jam juga sudah menjadi ‘berita yang basi’. Sebagai wartawan, baik yang bekerja di media cetak, media elektronik, portal berita mahupun blog, kepantasan menjadi ‘angkubah’ yang sangat penting. Dan yang juga penting, ianya perlu didasari sama oleh ‘nilai kebenaran’ dan realisasi menyeluruh (total realisation) mengenai ‘asas berita’ yang mahu disampaikan.

8. Benar, mungkin tidak ada salahnya untuk fraterniti kewartawanan dan media menjadi ‘kritis’ – namun ianya juga mesti diasaskan dengan etika kewartawanan yang betul. Garis halus antara ‘nilai berita yang benar’ dan ‘nilai berita yang mencipta sensasi’ akan banyak bergantung kepada adab kewartawanan yang digunapakai.

9. Perangkaan terbaru menunjukkan hari ini, 60 peratus isi rumah Malaysia mempunyai akaun Internet yang memberi mereka akses kepada sumber maklumat yang tidak terbatas. Dalam pencarian maklumat, rakyat tidak lagi bergantung kepada sumber dalaman, tetapi juga luaran. Selain mempunyai akses kepada dua juta pengendali blog, 76 akhbar harian dan mingguan, 151 saluran televisyen dan 53 stesen radio di dalam negara, mereka juga boleh melayari laman-laman blog antarabangsa, Facebook, YouTube dengan menggunakan enjin carian seperti Yahoo dan Google.

10. Mengambil kira landskap media yang banyak berubah dengan kehadiran teknologi baru yang telah melahirkan dunia siber, peranan wartawan dalam membantu membina negara yang bersatu padu, makmur dan menjanjikan masa depan yang gemilang, tentulah menjadi amat mustahak dan mencabar.

11. Perubahan itu membuatkan tugas wartawan pada zaman ini menjadi lebih kompleks. Kelahiran apa yang dipanggil sebagai kewartawan warga atau citizen journalism, merumitkan lagi keadaan. Siapa juga yang mempunyai blog berupaya berkarya, boleh menjadi wartawan. Apakah mereka ini juga menyedari dan menghargai ‘adab dan etika kewartawanan’?

12. Saya menelah kemungkinan, bahawa suatu hari nanti – istilah ‘mainstream’ dan ‘alternative media’ ini akan menjadi dikotomi yang tidak lagi relevan – dalam konteks penerimaan ‘rakyat’ terhadap nilai berita. Malahan, trend dan suasana kebelakangan ini; akan mencadangkan bahawa ‘mainstream’ sudah bersedia menjadi lebih pantas dan terkini – sesuai dengan tuntutan masa dan keadaan.

Kewartawanan, NKRA dan Aspirasi Kerajaan

13. Saya berharap saudara-saudara semua memahami betapa berpengaruhnya media tempat saudara-saudara bekerja, tidak kira berapa besar atau sekecil mana organisasinya. Saya amat berharap agar – kita mampu memaparkan ‘berita’ yang mempunyai pendekatan yang seimbang terhadap semua perkara.

14. Sebagai kerajaan, kita juga mempunyai amanah dan tanggungjawab. Yang pasti, dalam kita memastikan amanah dan tanggungjawab ini dapat dilaksanakan dengan baik; media akan memainkan peranan yang bersifat ‘tunjang’ dan penting. Kita ambil sahaja aspirasi Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) yang dihajati oleh Perdana Menteri. Pihak media, mempunyai ‘pengaruh’ dan kemampuan untuk mengisi minda rakyat dengan kepentingan mereka menilai kerajaan dengan ‘kayu ukur yang jelas’.

15. Ia tidak seharusnya menjurus kepada kebebasan bersuara yang tidak terarah. Suka saya ingatkan, sebuah Negara yang menjadi ikon kepada cita keterbukaan media juga pernah dikritik kerana menjadi ‘phobia’ kepada keterbukaan media pasca peristiwa September 11. Dalam sebuah pertemuan antarabangsa, ‘Building Civil Society with Sustainable Media: Models and Options’, Negara tersebut juga dikritik hebat kerana mengenakan pelbagai had dan limit kepada kebebasan media. Media mengkritik dasar luar. Media menghentam polisi keselamatan. Akhirnya, Negara yang kononnya ‘ikon’ kebebasan media juga menjadi ‘kurang senang’ dengan – istilah ‘kebebasan’ total yang mereka berikan.

16. Kementerian Dalam Negeri sangat terbuka dengan kebebasan media, khususnya media cetak – ‘asalkan’ ianya turut ditatang dengan elemen kebertanggungjawaban yang sewajarnya. Benar, kita pernah mengambil tindakan – namun ianya dilakukan di dalam ‘peruntukan undang-undang yang wajar dan bersesuaian’. Tindakan kita terhadap ‘surat berita parti’ jangan disalah tanggap sebagai tindakan umum kepada media cetak secara keseluruhannya.

17. Ini boleh dibuktikan melalui statistik jumlah permit penerbitan yang diberikan untuk menerbitkan akhbar di negara ini iaitu sejumlah 76 akhbar dalam pelbagai bahasa telah diberikan permit penerbitan. Di semenanjung saja sebanyak 45 akhbar, di Sabah sebanyak 13 akhbar dan di Sarawak sebanyak 18 akhbar. Dalam pecahan bahasa adalah seperti berikut iaitu bahasa Melayu sebanyak 18 akhbar, bahasa Inggeris sebanyak 19 akhbar, bahasa Cina sebanyak 29 akhbar dan bahasa Punjabi/Tamil sebanyak 10 akhbar.

18. Berdasarkan laporan statistik tersebut ianya amat jelas membuktikan kita tidak menyekat atau mengekang kebebasan media di Malaysia. Daripada jumlah akhbar yang ada, kita juga perlu meneliti angka dan statistik tindakan-tindakan yang telah diambil oleh kementerian ke atas akhbar-akhbar dalam semua bahasa. Pada tahun 2010 sebanyak 19 tindakan dalam bentuk nasihat, teguran, tunjuk sebab telah diambil tetapi belum ada lagi akhbar yang dikenakan tindakan gantung dan batal permit. Namun ini bukan bermakna tindakan yang lebih tegas tidak boleh diambil kerana Kerajaan sedang memantau perkara ini dengan dekat melalui penubuhan Jawatankuasa Pengukuhan Strategi Komunikasi Kerajaan. Malah, perbincangan juga telah dimulakan dengan melibatkan tiga kementerian iaitu Jabatan Perdana Menteri, Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Kementerian Dalam Negeri bersama Pejabat Peguam Negara untuk meneliti perkara ini secara mendalam. Kerajaan mengambil langkah-langkah ini bagi memastikan amalan media di negara ini bersih dari elemen hasutan, fitnah, tohmahan dan perkara negatif terhadap pembangunan negara. Saya difahamkan Pejabat Peguam Negara ketika ini sedang meneliti dan memperhalusi penyediaan garis panduan media yang lebih menyeluruh untuk diperkenalkan di negara ini. KDN akan menggunakan garis panduan yang disediakan ini untuk melakukan sebarang tindakan pada masa depan.

19. Di hadapan keluarga media petang ini – jaminan saya berikan; bahawa tindakan akan hanya akan diambil setelah ‘asas perundangan’ mengizinkan untuk ianya dilakukan.

20. Saya berpandangan walaupun kita mungkin berada dalam sebuah kampung sejagat yang sudah kabur sempadannya, tetapi nilai-nilai dan identiti Malaysia perlu mendasari cara kerja media di Malaysia. Ingatlah peranan saudara-saudara dalam membentuk persepsi rakyat Malaysia dan bagaimana dunia melihat Malaysia adalah instrumental. Bantulah memerangi kebencian, pertelagahan dan prejudis. Tolonglah tegakkan hujah berasas, dialog dan keharmonian. Hindari menjadi media yang sombong dan angkuh, tidak sensitif, tidak tepat, bias yang keterlaluan dan sensasi yang tidak berhemah. Utamakan apa yang baik untuk negara kita.

21. Sebagai penutup saya ingin mengambil kesempatan pada majlis ini untuk merakamkan penghargaan kerajaan kepada pihak media massa di atas sumbangannya dalam membantu pembangunan negara dan rakyat. Saya percaya keikhlasan wartawan dalam melaksanakan tanggungjawab mereka akan difahami oleh rakyat dan kerajaan. Pada masa yang sama, saya berharap wartawan juga yakin kepada kejujuran kerajaan dan para pemimpinnya.

22. Akhir sekali, sekali lagi terima kasih kepada pihak penganjur yang telah memberi penghormatan kepada saya untuk menyempurnakan majlis penganugerahan Tokoh Wartawan Negara kelapan ini.

23. Kepada penerima anugerah, yang bakal diumumkan sebentar lagi, setinggi-tinggi tahniah saya ucapkan. Yang nyata, saya dan KDN, komited untuk menzahirkan kerjasama strategik dan akrab bersama media untuk jangka masa yang panjang.

Sekian.