web analytics

Ucapan Majlis Perasmian Seminar Sasaran Penting Peringkat Kebangsaan 2010

28 October 2010

KDN Sana Sini

UCAPAN MAJLIS PERASMIAN
SEMINAR SASARAN PENTING PERINGKAT KEBANGSAAN TAHUN 2010
PADA 28 OKTOBER 2010
OLEH Y. BHG DATO’ SRI MAHMOOD BIN ADAM
KETUA SETIAUSAHA KDN

Bismillahirrahmanirrahim.

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Sejahtera.

Yang Berbahagia Dato’ Sri Mahmood bin Adam
Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri
Selaku Pengerusi Jawatankuasa Pusat Sasaran Penting

Yang Berhormat Setiausaha-setiausaha Kerajaan Negeri
Selaku Pengerusi Jawatankuasa Sasaran Penting Negeri

Yang Berbahagia Dato’ Haji Johari bin Haji Jamaluddin
Ketua Pengarah Keselamatan Kerajaan
Jabatan Perdana Menteri
Selaku Setiausaha Jawatankuasa Pusat Sasaran Penting

Yang Berusaha Lt. Kol. Husin Bin Jazri (Bersara)
Ketua Pegawai Eksekutif
CyberSecurity Malaysia

Pegawai-Pegawai Kanan Kerajaan
Ketua-Ketua Pegawai Eksekutif
Pengurus-Pengurus Keselamatan Sasaran Penting
Pembentang-pembentang kertas kerja
Y.Berbahagia Tan Sri- Tan Sri, Dato’-Dato’,Tuan-Tuan dan Puan-Puan
Hadirin yang dihormati sekalian.

Alhamdulillahlah, bersyukur kita ke hadrat Allah Subahanu Wata’ala kerana dengan izin Nya dapat kita berkumpul dalam dewan ini untuk satu majlis yang amat bermakna kepada kita semua. Terlebih dahulu saya ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan terima kasih kepada Y.Bhg. Dato’ Sri KSU Kementerian Dalam Negeri (KDN), Urus setia Jawatankuasa Pusat Sasaran Penting (JPSP), Pejabat Ketua Pegawai Keselamatan Kerajaan Malaysia, Jabatan Perdana Menteri serta Cyber Security Malaysia kerana sudi menjemput saya bagi menyempurnakan Majlis Perasmian Seminar Sasaran Penting Peringkat Kebangsaan Tahun 2010 ini yang bertemakan “Perlindungan Sasaran Penting Dalam Dunia Siber…Cabaran Masa Hadapan”.

2. Saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada Pengerusi dan Setiausaha JPSP kerana berjaya mengadakan seminar dan mengumpulkan semua Pengerusi-Pengerusi Jawatankuasa Sasaran Penting Negeri (JSPN), Setiausaha-Setiausaha JSPN dan pemilik-pemilik Sasaran Penting untuk sama-sama terlibat dalam seminar ini. Kejayaan dan usaha yang telah ditunjukkan oleh pihak Kementerian Dalam Negeri (KDN), Pejabat Ketua Pegawai Keselamatan Kerajaan Malaysia (KPKK), Jabatan Perdana Menteri dan Cyber Security Malaysia bagi memastikan keselamatan perlindungan semua Sasaran Penting diharap dapat diteruskan. Saya amat berharap agar usaha sedemikian akan menjadi contoh kepada pemilik-pemilik Sasaran Penting sama ada Agensi Kerajaan mahupun pihak swasta.

3. Saya percaya Seminar Sasaran Penting ini akan memberi peluang kepada para peserta, untuk berbincang lebih mendalam tentang peranan dan tanggungjawab yang jelas khususnya dari perspektif pengurusan keselamatan di Sasaran Penting. Empat (4) kertas kerja yang akan dibentangkan dalam seminar ini akan memberikan kita input yang berharga khususnya berkaitan pengurusan keselamatan di sasaran penting yang bertujuan sebagai suatu usaha bersepadu dan berterusan, untuk mempertingkatkan tahap keselamatan sasaran penting diseluruh negara.

4. Saya yakin Seminar Sasaran Penting Peringkat Kebangsaan Tahun 2010 ini merupakan suatu landasan serta forum yang baik, bagi kita bersama-sama untuk bertukar-tukar idea dan pandangan, di samping mempereratkan lagi hubungan silaturrahim sesama kita. Dalam pada itu, saya berharap seminar ini dapat membuka minda di samping bertindak sebagai pemangkin kepada kefahaman dan mewujudkan kesedaran keselamatan sasaran penting yang lebih bererti, sehingga dapat membudayakannya serta memperkasakannya demi kepentingan dan kredibiliti negara.

5. Adalah menjadi harapan saya semoga seminar ini dapat memberikan ruang untuk kita, sama-sama menilai, merancang dan merumuskan tindakan yang lebih berkesan.

Y.Bhg Tan Sri-Tan Sri, Datuk-Datuk,Tuan-tuan dan para hadirin sekelian

Kepentingan Menjaga Instalasi Sasaran Penting Terhadap Pencapaian Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA) dan Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA)

6. Seperti mana maklum, Sasaran Penting adalah “apa-apa jua pepasangan yang hasil keluaran atau perkhidmatannya adalah sangat penting, dan sekiranya berlaku kemusnahan atau kerosakan akan menyebabkan kerugian yang amat besar kepada ekonomi, pertahanan atau keselamatan negara atau menjejaskan fungsi kerajaan dan imej negara”. Instalasi atau pepasangan Sasaran Penting yang ada pada hari ini perlu dijaga dengan baik. Pihak yang bertanggungjawab seperti pemilik, Jawatankuasa Sasaran Penting Negeri mahupun Jawatankuasa Pusat Sasaran Penting hendaklah proaktif untuk memastikan kelangsungan produk dan perkhidmatan Sasaran Penting dapat diteruskan. Sasaran Penting adalah merupakan salah satu bidang yang telah dikenalpasti sebagai salah satu bidang keberhasilan utama (NKRA) Kementerian Dalam Negeri. Penyenaraian ini menuntut supaya semua yang terlibat dengan pengurusan keselamatan Sasaran Penting negara terutamanya JPSP perlu bekerja keras serta memberi penumpuan yang lebih peka, kreatif dan pantas dalam setiap tindakan yang hendak dilaksanakan untuk memastikan ekonomi, pertahanan, keselamatan negara atau fungsi dan imej negara tidak terjejas. Pengukuhan nilai ringgit sejak kebelakangan ini telah mula diyakini dan merupakan perkembangan positif untuk negara. Nilai ringgit yang semakin kukuh dijangka tidak menjejaskan ekonomi dan juga daya saing negara dalam perdagangan antarabangsa. Pengukuhan ini dijangka akan menarik kemasukan pelabur-pelabur asing ke dalam negara, sekali gus melonjakkan pertumbuhan ekonomi domestik. Kemasukan pelabur asing bakal memberi peluang ekonomi termasuk pekerjaan, peningkatan pengeluaran dan nilai tambah dalam ekonomi negara. Kini negara-negara besar Asia mula sibuk melabur di dalam pembangunan sektor pengangkutan, penjanaan kuasa dan kemudahan air yang mana mereka percaya itu merupakan salah satu daripada pembangunan sumber ekonomi. Saya ingin menggesa pemilik serta penghuni Sasaran Penting yang terlibat dalam semua sektor Sasaran Penting terutama dari sektor tenaga elektrik, telekomunikasi, penyiaran, bekalan air dan sektor pengangkutan memastikan perkhidmatan mereka dapat dibekalkan tanpa gangguan yang serius sebagai jaminan kepada pelabur-pelabur asing untuk melabur dalam negara. YAB Perdana Menteri juga telah menggariskan beberapa teras stratergik utama yang telah dikenal pasti ke arah mencapai objektif serta sasaran yang telah ditetapkan untuk merancakkan lagi pertumbuhan ekonomi negara. Antara langkah yang diambil oleh kerajaan adalah dengan memperkenalkan Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA). Kerajaan telah memperkenalkan 12 bidang NKEA yang berpotensi untuk menjana pendapatan tinggi. Saya menyeru kepada semua yang terlibat dalam pengurusan keselamatan Sasaran Penting membantu memberikan perkhidmatan yang terbaik termasuk kepakaran teknikal dari aspek keselamatan perlindungan khususnya terhadap sektor-sektor yang telah disenaraikan sebagai Sasaran Penting negara supaya hasil keluaran dan perkhidmatannya tidak terjejas, sekaligus membantu meningkatkan ekonomi negara menerusi 12 bidang NKEA yang diperkenalkan kerajaan.

Y.Bhg Tan Sri-Tan Sri, Datuk-Datuk,Tuan-tuan dan para hadirin sekelian

Perkongsian Pintar Awam-Swasta
7. Saya ingin menggesa kepada semua pihak JPSP dan JSPN supaya lebih peka dengan projek-rojek pembangunan negara yang telah dirancang. Kita seharusnya bekerjsama dalam memastikan projek-projek pembangunan yang dirancang dapat dilaksanakan tanpa sebarang gangguan dengan mengambil kira faktor-faktor kepentingan untuk melindungi dan menghalang sebarang ruang dan peluang anasir-anasir yang tidak bertanggungjawab yang ingin mengambil keselamatan melakukan ancaman terhadap Sasaran Penting negara. Perkongsian pintar dan berkesan antara sektor awam dan swasta akan diamalkan sebagai mekanisma penggerak agenda transformasi ekonomi negara. Pihak swasta juga akan berpeluang menyertai pembangunan beberapa projek lain yang dipimpin syarikat berkaitan kerajaan (GLC). Ini termasuk projek-projek, seperti Projek Pembangunan Stratergik Kuala Lumpur oleh 1Malaysia Development Berhad (1MDB) meliputi kawasan Lapangan Terbang Sungai Besi, dan KL International Financial District di Kuala Lumpur, pembinaan Loji Regasification Gas Asli Cecair (LNG) oleh Petronas di Melaka dengan anggaran kos 3 bilion ringgit serta pelaburan dua relau pelebur aluminium di SCORE Sarawak berjumlah 18 bilion ringgit. Perhubungan yang baik antara sektor awam dan swasta ini mampu melonjakkan negara ke tahap yang lebih berdaya saing di peringkat antarabangsa. Disamping itu, kejayaan ini akan melonjakkan keyakinan rakyat serta pelabur tempatan dan luar negara terhadap prestasi ekonomi negara.

Y.Bhg Tan Sri-Tan Sri, Datuk-Datuk,Tuan-tuan dan para hadirin sekelian

Perlindungan Sasaran Penting Dalam Dunia Siber

8. Serangan Siber pada ketika ini merupakan ancaman berteknologi moden yang menakutkan. Jumlah gangguan siber yang dilaporkan ke Pusat Bantuan Cyber999 meningkat sebanyak 92 peratus kepada 4,390 kes sepanjang lapan bulan pertama tahun ini berbanding 2,289 kes bagi tempoh yang sama tahun lalu. Gangguan itu melibatkan kes penipuan, cubaan pencerobohan, pencerobohan, kod berbahaya, spam dan gangguan perkhidmatan. Ancaman-ancaman sebegini boleh mendatangkan malapetaka dan melumpuhkan negara. Kebergantungan kita terhadap teknologi maklumat/internet tanpa disedari akan menghasilkan kelemahan. Pihak musuh akan mengeksploitasi kelemahan ini untuk menembusi serta menyerang rangkaian komputer yang lemah sehingga mampu mengganggu perkhidmatan Sasaran Penting negara.

9. Dunia siber menjadi semakin penting dalam segala aspek dan merupakan fenomena yang sedang melanda tatacara serta susun atur kehidupan manusia moden. Perkembangan teknologi ini perlu dikawal, diatur dan dipantau secara konsisten melalui sistem dan perancangan yang komprehensif. Ini adalah kerana alam siber mampu meninggalkan kesan yang positif dan negatif kepada sesebuah negara dan rakyat. Sehubungan itu, ancaman siber tidak boleh dipandang ringan. Ini kerana dalam dunia tanpa sempadan dan kawalan, sesiapa sahaja sama ada individu atau kumpulan dengan mudah boleh menceroboh dan melakukan kerosakan serta kemusnahan kepada sesebuah masyarakat moden dan negara jika kita gagal dan cuai membendungnya.

10. Kesan dan akibatnya juga boleh membawa mudarat dan kemusnahan terhadap negara walaupun seseorang yang berniat jahat itu berada jauh beribu-ribu kilometer dari tempat sasaran iaitu dengan hanya semudah memetik butang komputer atau apa sahaja peralatan yang berkaitan dengannya. Dengan inovasi dan teknologi terhadapan hari ini yang semakin canggih, segalanya boleh dilakukan dengan mudah di alam siber ini sama ada untuk tujuan kebaikan ataupun keburukan.

11. Teknoloogi Internet adalah medium paling berpengaruh dan amat penting dalam kehidupan kita pada hari ini. Malaysia sebagai sebuah kerajaan elektronik tidak ketinggalan, kemudahan siber diaplikasikan hampir dalam semua bidang sama ada urusan berkaitan perkhidmatan awam, perbankan, perhubungan dalam dan luar negara, pendidikan, komunikasi dan sebagainya.

12. Semakin tinggi kebergantungan dan hubungan sesebuah negara dan rakyat terhadap internet, semakin ia terdedah kepada ancaman siber. Amerika Syarikat (AS), Jepun, Eropah dan lain-lain yang menjadi peneraju dan peneroka alam siber tidak terlepas daripada ancaman ini. Antara serangan siber yang paling dahsyat yang pernah dilaporkan ialah beberapa percubaan mengakses sistem syarikat dan agensi kritikal di AS seperti Pentagon, NASA dan sebagainya. Serangan selama dua tahun yang bermula pada tahun 2003 itu turut dikenali sebagai ‘Titan Rain’ dan dikatakan dilakukan oleh pihak musuh yang ingin mendapatkan maklumat perisikan negara tersebut. Keadaan ini menjadikan pentadbiran dan keselamatan AS menjadi kelam kabut serta pelbagai langkah dilaksanakan bagi mengelak kejadian sama berulang. Sehingga kini negara siber itu senantiasa berusaha mewujudkan sistem pertahanan dan kawalan yang cukup hebat bagi berhadapan dengan segala kemungkinan. Serangan dan pencerobohan yang sama turut berlaku di Estonia yang maju dalam bidang teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) di Eropah,. Negara itu telah mengalami ancaman siber dalam bentuk tiga siri gelombang serangan siber yang serius selama tiga minggu berturut-turut. Kejadian yang dikenali sebagai ‘Perang Siber Estonian’ pada tahun 2007 itu telah menyebabkan loji rawatan air di negara itu terpaksa ditutup, sistem perbankannya tergendala dan laman web agensi kerajaannya diubah.
Kejadian itu telah menyedarkan banyak negara di seluruh dunia terutamanya pihak yang terlibat secara langsung dalam perancangan pertahanan dalam sistem pertahanan siber masing-masing. Ini kerana mana-mana negara yang tidak mempunyai sistem perlindungan yang baik mudah terdedah kepada ancaman siber. Jika salah perancangan, ancaman siber secara langsung dan tidak langsung boleh menjatuhkan sesebuah kerajaan dan meruntuhkan negara dalam masa yang sangat singkat. Baru-baru ini juga kita telah dikejutkan dengan berita serangan virus Stuxnet, dimana virus ini dipercayai didalangi oleh kumpulan tertentu untuk menyerang beberapa Sasaran Penting di negara Iran. Serangan virus ini juga telah menyerang 60 % sistem rangkaian komputer di negara Iran.

13. Cyber Security Malaysia misalnya telah memainkan peranan menjalinkan kerjsama erat bersama Kementerian Dalam Negeri dan Pejabat Ketua Pegawai Keselamatan Kerajaan, Jabatan Perdana Menteri dalam memastikan semua Instalasi Sasaran Penting yang bergantung sepenuhnya dengan Tekonogi ICT perlu mengadaptasi persijilan MS ISO/IEC 27001 Pengurusan Sistem Keselamatan Maklumat (Information Security Management System -ISMS). Ini bertujuan mengekang kegiatan anasir yang tidak bertanggungjawab mencuri maklumat-maklumat penting negara. Namun begitu, ianya ditidak harus diletakkan tanggungjawab terhadap pihak kerajaan semata-mata, kita semua perlulah berwaspada dengan ancaman jenayah siber yang semakin berleluasa ini sehingga boleh meruntuhkan sistem ekonomi, prasarana dan institusi serta menyebabkan kecederaan atau maut kepada orang ramai. Ancaman siber seperti spamming, pembiakan dan penyebaran virus, pengodam maya, e-mail bombing, penggunaan kata laluan orang lain, menipu, penyebaran bahan lucah, skim cepat kaya dan piramid, judi siber, penipuan kad kredit, peras ugut, pengintipan industri, pelaburan haram dan sebagainya juga perlu dihentikan kerana impaknya boleh mengakibatkan kematian, kecederaan manusia selain mampu melumpuhkan sistem ekonomi, sosial dan politik sesebuah negara.

Y.Bhg Tan Sri-Tan Sri, Datuk-Datuk,Tuan-tuan dan para hadirin sekelian

14. Seminar ini amat bertepatan sekali kerana seperti yang kita semua maklum bahawa keselamatan bukan sahaja menjadi tanggungjawab dan bebanan kerajaan semata-mata, malah ia akan menjadi efektif sekiranya semua pihak dapat mengembeling tenaga, kepakaran dan akauntibiliti dalam menanganinya. Tindakan pro-aktif dalam menangani masalah keselamatan dan sebagainya hendaklah bertepatan dengan prinsip mencegah adalah lebih baik daripada mengubati (prevention is better than cure).

15. Pihak kerajaan akan memastikan supaya pengurusan keselamatan perlindungan Sasaran Penting seluruh negara sentiasa diberikan perhatian serius oleh semua Pengerusi, Setiausaha, ahli dan Penghuni dan menjadikannya sebagai agenda utama demi memelihara kewibawaan perkhidmatan dan pentadbiran kerajaan. Pihak JPSP dan JSPN yang diurusetiakan oleh Pejabat Ketua Pegawai Keselamatan Kerajaan, Jabatan Perdana Menteri perlu mempunyai perancangan dan strategi yang efektif untuk memberikan kelebihan jangka panjang. Di samping itu pihak JPSP dan JSPN perlu bertindak secara proaktif dan mengambil iktibar akan senario keselamatan global bagi dijadikan sebagai panduan untuk direncanakan langkah-langkah keselamatan perlindungan bagi mengelakkan implikasi buruk terhadap ekonomi negara, keselamatan negara, pertahanan negara dan perjalanan fungsi –fungsi kerajaan.

16. Adalah menjadi harapan saya agar Y.B. Datuk/Dato’/Tuan-tuan dan Puan-puan dapat memanfaatkan peluang menghadiri seminar ini untuk sama-sama memahami akan kaedah sebenar yang perlu dipatuhi dalam hal-hal Keselamatan Perlindungan Sasaran Penting dan berkongsi pengalaman dengan pembentang-pembentang kertas kerja yang didatangkan dari pelbagai agensi kerajaan dan swasta. Saya yakin dan percaya bahawa seminar ini dapat mencapai objektif yang ditetapkan. Saya amat yakin kita semua akan lebih komited dan dapat memberikan sokongan sepenuhnya dalam menjayakan program yang dilaksanakan oleh kerajaan untuk memastikan Sasaran Penting yang merupakan aset penting negara sentiasa terpelihara. Saya percaya pengurusan Sasaran Penting negara akan dikendalikan mengikut amalan ‘best practise’ dan ‘good governance’.
17. Harapan saya, biarlah mereka yang hadir dalam seminar ini dilihat sebagai mereka yang mempunyai keupayaan menganalisis yang baik, pemikiran strategik kelas tinggi dan boleh membuat keputusan yang cepat serta tepat di organisasi masing-masing berdasarkan pengalaman serta pengetahuan yang diperolehi.
18. Saya ingin merakamkan ucapan terima kasih sekali lagi kepada Pengerusi JPSP dan Setiausaha JPSP, Cyber Security Malaysia selaku penganjur, pembentang-pembentang kertas kerja yang telah berusaha dengan gigihnya di dalam menjayakan seminar ini. Saya berharap agar Y.B. Datuk/Dato’/ Tuan-tuan dan Puan-puan dapat mengambil kesempatan untuk memberikan kerjasama dan sokongan padu terhadap usaha kerajaan untuk memastikan keselamatan sasaran penting terus terpelihara. Saya berharap seminar ini dapat memberikan faedah dalam meningkatkan kesedaran akan kepentingan pengurusan Keselamatan Perlindungan di Sasaran Penting seluruh negara secara efektif dan berkesan.

19. Akhir kata, saya dengan lafaz Bismillahir rahmanir rahim merasmikan Seminar Sasaran Penting Peringkat Kebangsaan Tahun 2010.
Sekian, terima kasih.