web analytics

“Lebih Bersemangat Memberi Perkhidmatan Terbaik!”

25 November 2010

KDN Sana Sini

Pembangunan Ibu Pejabat Polis Daerah Kubang Pasu adalah sebahagian daripada perancangan dan inisiatif Kementarian Dalam Negeri bagi mengukuhkan lagi sistem perkhidmatan polis kepada masyarakat terutamanya dalam memerangi jenayah dan memelihara keamanan setempat. Pada 24 November 2010, Kebawah Duli YMM Tuanku Sultan Kedah telah menyempurnakan perasmian dengan menandatangani plak perasmian.


“Beta berharap rakyat boleh membantu Polis Di Raja Malaysia bersama-sama membanteras jenayah dengan melaporkan kejadian-kejadian jenayah. Tanpil kehadapan memberi maklumat adalah salah satu usaha menurunkan kadar jenayah,” titah baginda Sultan Kedah.


Titah baginda Sultan Kedah lagi, “Beta amat berbangga kerana walaupun mereka (PDRM) bekerja di luar waktu rasmi mereka tetap melaksanakan tugas tanpa mengira siang dan malam, hujan dan panas demi memastikan aktiviti-aktiviti komersial dapat berlangsung dalam keadaan makmur di Malaysia”.


Sebelum menandatangani ‘plak perasmian’ PDRM telah membuat gimik perasmian di mana ‘plak perasmian’ diturunkan oleh anggota Gerak Khas dari helikopter PDRM yang berlegar di sekitar IPD Polis Daerah Kubang Pasu, lalu diserahkan pada KDYMM Tuanku Sultan Kedah dengan penuh adat istiadat di Raja diiringi Y.B. Menteri Dalam Negeri, Y.B. Menteri Besar Kedah serta Ketua Polis Negara dan Ketua Polis IPD Kubang Pasu.


Kompleks Ibu Pejabat Polis Daerah Kubang Pasu baru yang telah dibina di atas Lot 2246, 2248 dan PT 275 dengan keluasan 11 2337 Ha. Tapak kompleks ini terletak bersebelahan Lebuh Darul Aman iaitu Jalan Persekutuan Satu yang merupakan jalan utama menyambungkan Alor Setar dengan Changlun.


Kini Kompleks IPD Polis Daerah Kubang Pasu telah siap pemninaannya pada tanggal Oktober 2009 dan ianya telah diserahkan kepada pihak PDRM pada 16 November 2009. Justeru itu, IPD Polis Daerah Kubang Pasu yang baru telah mula beroperasi pada 1 Januari 2010.


Turut hadir pada Majlis Perasmian ini ialah Yang Teramat Mulia Tunku Temenggong Kedah dan Yang Teramat Mulia Toh Puan Temenggung serta Yang Teramat Mulia Tunku Bendahara Kedah dan Yang Amat Berbahagia Toh Puan Bendahara.

—team berita ikdn