web analytics

Gotong-royong bersama-sama MDN

16 November 2010

KDN Sana Sini

Menteri Dalam Negeri, Dato’ Seri Hishammuddin Tun Hussein sekali lagi meluangkan masa turun ke padang berjumpa masyarakat terutamanya di kawasan pedalaman daerah Kluang, Johor. Kali ini Kampung GSA Chamek menjadi pilihan destinasi beliau untuk bersama-sama bergotong-royong membersihkan kawasan di sana. Bermula jam 7.30 pagi, gotong-royong dijalankan dan turut disertai oleh pasukan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) dan Ikatan Relawan Rakyat (RELA) cawangan Kluang, Johor.

Sepanjang kunjungan di sana, beliau sempat beramah mesra dan mendekati rakyat dengan tidak mengira perbezaan kaum, agama dan darjat. Setiap ruang masa dipenuhi dengan pertanyaan khabar dan mendengar masalah dan rintihan rakyat bagi mencari idea untuk memberi bantuan sebagai tanda keprihatinan beliau.

Beliau juga bermurah hati untuk memberikan beberapa sumbangan ikhlas seperti dua (2) unit mesin rumput sandang, bantuan untuk pembangunan pertanian dan menyampaikan wakallah sumbangan lembu korban kepada penduduk di sana. Golongan kanak-kanak turut tidak ketinggalan dimana 10 orang pelajar cemerlang UPSR di kawasan tersebut telah dipilih untuk diberikan sumbangan diatas usaha gigih mereka dalam pencapaian akademik.

Sebelum beralih ke destinasi lain untuk dikunjungi, Dato’ Seri Hishammuddin Tun Hussein sempat menziarah dan melawat rumah penduduk yang sakit dan kurang upaya. Segala masalah serta kesulitan mereka didengari dan bantuan akan diberikan selain sumbangan hamper turut dihulur sebagai tanda simpati pemimpin terhadap rakyatnya.

— team berita iKDN-