web analytics

KDN Bersiap Sedia Gelombang Kedua-MDN

11 November 2010

KDN Sana Sini

“Saya bangga juga kagum dengan usaha anak-anak muda kita yang sanggup terlibat dalam gerakan membantu mangsa banjir di Kedah sejak minggu lalu”, kata Menteri Dalam Negeri, Dato’ Seri Hishammuddin Tun Hussein dalam lawatannya menjenguk mangsa-mangsa banjir di Sekolah Kebangsaan Abdullah Sadun, Alor Janggus, Alor Star pada 9 November yang lalu.

Semua agensi di bawah Kementerian Dalam Negeri diarahkan untuk bersiap sedia bagi menghadapi gelombang kedua banjir yang dijangka sehingga akhir Disember ini. Antara agensi di bawah KDN yang terbabit dalam operasi banjir di Kedah ialah Polis DiRaja Malaysia (PDRM), Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) dan Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (RELA).

“Kalau berlaku (gelombang kedua) dalam masa terdekat, kita memang sudah ada di sini dan bersedia menambah anggota mengikut keperluan, kalau tidak mungkin akan balik dulu dan kemudian gerakkan semula,” katanya kepada pemberita semasa sidang akbar.

Seramai lebih 1,000 anggota PDRM, 400 anggota JPAM dan 193 anggota RELA telah digerakkan dalam memberi bantuan dalam melaksanakan kerja-kerja pembersihan sekolah yang dijadikan sebagai pusat penempatan serta sekolah mangsa-mangsa ini.

Dalam pada itu juga beliau turut melancarkan tabung bencana alam Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (Presma) yang turut menyumbangkan bantuan dalam bentuk makanan dan air mineral bernilai RM200,000 kepada mangsa-mangsa banjir di Kedah.

–team berita ikdn