web analytics

Kempen Pemerdagangan Orang di RPS Air Banun

15 November 2010

KDN Sana Sini

Misi dan komitmen kerajaan Malaysia untuk keluar dari senarai tier pemerdagangan orang sememangnya telah dijalankan sejak dahulu. Sebelum ini Malaysia berada di kedudukan Tier 2 dan Tier 3. Bagi mencapai hasrat kerajaan tersebut, Kementerian Dalam Negeri sebagai kementerian yang bertanggungjawab menangani isu ini meneruskan kempen banteras pemerdagangan orang. Kali ini kempen diadakan bertempat di kawasan pedalaman perkampungan orang asli di RPS Air Banun, Gerik, Perak sempena Majlis Penganugerahan Pangkat Kehormat RELA kepada sembilan platun seluruh negeri Perak pada 13 November 2010.

Bahagian Komunikasi Korporat yang di ketuai Puan Jamilah Taib serta lima pegawainya meneroka Hutan Belum, Tasik Banding bagi meneruskan misi menjayakan kempen banteras pemerdagangan orang. Hadir bersama media dari BERNAMA dan Sin Chew Daily turut merasai pengalaman seharian mereka bersama Orang Asli di situ.

“Kempen Banteras Pemerdagangan Orang ini asalnya akan diadakan dari bandar ke bandar, akan tetapi kita juga harus ingat sejajar arus kemodenan yang semakin maju, mereka (orang asli) juga akan mula merasai kemodenan tersebut. Jadi kita harus mencegah dari berlakunya kes-kes pemerdagangan orang di kalangan Orang Asli sebelum ia berlaku”, kata Ketua Komunikasi Korporat, KDN selaku ketua program.

Pemerdagangan orang salah dan wajar disekat kerana merupakan salah satu kesalahan jenayah yang besar di dalam konteks kehidupan manusia yang mana ini melanggar hak-hak asasi manusia, menurut Persatuan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB). Ia perlu dihalang kerana akan merosakkan bangsa yang bertamadun untuk terus menikmat kebebasan hidup yang sempurna.

Seperti kita ketahui masih belum ada kes pemerdagangan orang yang melibatkan Orang Asli. Langkah-langkah pencegahan seperti inilah yang harus diambil kira. “Kita tidak menghalang mereka untuk merasai hidup diluar kepompong mereka, cuma kita nak mereka lebih berhati-hati dan peka dengan jenayah yang ada,” tambah Jamilah Taib ketika ditanya media.

Turut hadir melawat booth KDN, ADUN Temenggor, Datuk Hasbullah Othman serta pegawai-pegawai RELA Negeri Perak.

–team berita ikdn