web analytics

Kempen Penambahan Ahli RELA Baru Masyarakat Orang Asli Negeri Perak

15 November 2010

KDN Sana Sini

“Orang asli bukan masyarakat kelas ketiga”, kata Dato’ Habullah Osman, ADUN Kawasan Temenggor yang mewakili Dato’ Seri Dr. Zambry bin Abd Kadir, Menteri Besar Perak semasa ucapan perasmian Kempen Penambahan Ahli RELA Baru Masyarakat Orang Asli Peringkat Negeri Perak pada 13 November yang lalu di Rancangan Penempatan Semula Orang Asli, Air Banun, Gerik, Perak.

Penyertaan masyarakat orang asli dalam pasukan RELA dapat memantapkan lagi program Gagasan 1 Malaysia dimana ia menunjukkan bahawa RELA adalah sebuah pasukan yang dianggotai oleh kepelbagaian kaum. Penubuhan platun dari kalangan masyarakat orang asli juga akan berfungsi memantapkan lagi soal keselamatan di kawasan penempatan mereka. Ia adalah selari dengan hasrat kerajaan yang mahukan agar soal keselamatan diberi perhatian secara menyeluruh tanpa mengira had dan sempadan.

Selain itu, kelebihan dan keistimewaan yang dimiliki oleh masyarakat orang asli dapat berperanan sebagai ‘mata dan telinga’ bagi membantu memantau setiap aktiviti yang boleh menganggu gugat keselamatan dan keamanan negara. Melalui pasukan RELA juga, segala maklumat mengenai dasar-dasar kerajaan dapat disalurkan malah perpaduan di kalangan rakyat akan bertambah erat.

Berdasarkan statistik yang dicatatkan oleh RELA Negeri Perak terdapat kira-kira 4,918 anggota RELA dari kalangan masyarakat orang asli dari jumlah keseluruhan keanggotaan RELA di Negeri Perak iaitu seramai 184,493 orang.

“Satu tabung khas untuk membantu anggota-anggota RELA sama ada dalam bidang pelajaran, kesihatan atau urusan-urusan yang difikirkan sesuai bagi membolehkan anggota-anggota RELA yang aktif dapat sesuatu insentif dari kerajaan negeri sebagai balasan terhadap sumbangan mereka akan dipertimbangkan”, katanya lagi.


Dalam kempen itu juga beliau turut memakaikan pangkat kepada Ketua-Ketua Platun Orang Asli dan menyerahkan peralatan serta pakaian seragam kepada sembilan Platun Orang Asli. Turut hadir dalam kempen tersebut ialah Encik Kamarudin Mohd Rafiq, Pengarah Bahagian Pasukan Pembangunan mewakili Ketua Pengarah RELA.

– team berita ikdn