web analytics

Kenyataan Akhbar: KSU KDN

8 November 2010

KDN Sana Sini

KENYATAAN AKHBAR
KETUA SETIAUSAHA
KEMENTERIAN DALAM NEGERI

1. Kementerian Dalam Negeri (KDN) ingin mengingatkan orang ramai terutamanya majikan yang menggaji pekerja asing bahawa KDN tidak pernah melantik orang perseorangan atau syarikat menjadi agen untuk menjalankan pendaftaran Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) bagi tujuan pengampunan atau pemutihan PATI menjadi pekerja asing yang sah.

2. KDN ingin memaklumkan bahawa Kerajaan masih belum membuat sebarang keputusan atas cadangan pemutihan PATI menjadi pekerja asing yang sah. Majlis Dialog dan Perjumpaan Ketua Setiausaha KDN dengan syarikat yang memohon pengurusan PATI telah diadakan pada 20 September 2010. Semasa Majlis Dialog tersebut, KDN hanya menerima pandangan dan cadangan daripada syarikat – syarikat yang hadir dan tiada sebarang keputusan dibuat.

3. Oleh yang demikian, dakwaan bahawa terdapat orang perseorangan atau syarikat telah dilantik oleh KDN untuk menjalankan Program 6P (Pendaftaran, Pengampunan, Pemutihan, Pemantauan, Penguatkuasaan dan Pengusiran) adalah PALSU. Setakat ini, KDN telah melapor kegiatan sekurang – kurangnya 5 syarikat atau individu yang memungut bayaran dari majikan dan PATI untuk Program 6P kepada Jabatan Siasatan Jenayah Komersil PDRM Bukit Aman untuk siasatan lanjut.

4. Kegiatan orang perseorangan atau syarikat berkenaan adalah bertentangan dengan undang – undang dan menipu orang ramai. Mana – mana majikan atau orang perseorangan yang telah ditipu menyertai pendaftaran tersebut diminta membuat laporan polis ke balai Polis yang berhampiran.

5. Majikan dan orang perseorangan yang menggaji PATI diingatkan bahawa adalah menjadi satu kesalahan di bawah Seksyen 55(B) Akta Imigresen 1959/63 mengambil orang asing bekerja tanpa Pas Lawatan (Kerja Sementara) yang sah. Bagi mengelakkan majikan berhadapan tindakan undang – undang, majikan boleh menghantar PATI balik ke negara asalnya secara sukarela dengan persetujuan Pejabat Timbalan Pendakwa Raya (DPP).

6. Jabatan Imigresen akan mengenakan kompaun yang minima kepada PATI berkenaan kerana kesalahan tinggal lebih masa di Malaysia atau tanpa PL(KS) yang sah. Jabatan Imigresen tidak akan mendakwa mana – mana majikan yang secara sukarela menguruskan pekerja PATI mereka yang tidak sah balik setelah kompaun minima dibayar.

Dato Sri Mahmood b. Adam
Ketua Setiausaha
Kementerian Dalam Negeri
Putrajaya
8 November 2010