Dalam kerancakan kerajaan membangunkan pelbagai infrastruktur dan kemodenan di seluruh negara, pembangunan insaniah dan rohani tidak pernah diabaikan. Perkara ini turut tergambar semasa program lawatan MDN ke Sembrong baru-baru ini.
Hasil permohonan masyarakat setempat setelah sekian lama, Masjid Jamek Kampung Sri Lukut kini telah dimulakan fasa pembinaannya. MDN selaku Ahli Parlimen kawasan terbabit telah diberi pengiktirafan untuk menyempurnakan upacara menentukan arah kiblat masjid berkenaan di samping meraikan majlis kesyukuran atas pembinaan masjid tersebut.
“Meskipun pelbagai masalah yang dihadapi, syukur segalanya berjaya kita hadapi dengan rasional dan saya berharap masjid yang bakal siap dibina nanti bukan sahaja menjadi tempat kita beribadat tetapi turut menjadi pusat untuk mengukuhkan institusi kekeluargaan dan perpaduan di Sembrong,” katanya.
Dalam program berkenaan, MDN turut diberi penerangan ringkas mengenai pelan binaan masjid berkenaan oleh Jurutera Daerah Kluang, Encik Hamdan bin Ali. Mengikut perancangan, projek masjid yang menelan kos sebanyak RM2 juta tersebut telah bermula pada 28 Oktober 2010 dan dijangka akan siap dibina pada 21 Disember 2011.
Selain itu, MDN turut diberikan penerangan ringkas oleh pegawai Unit Falak Syarie, Jabatan Mufti Johor, Encik Muhammad Noh bin Mustaffa mengenai penentuan arah kiblat masjid berkenaan.
Dalam program serba santai tersebut, MDN turut meluangkan masa melawat beberapa kediaman masyarakat setempat yang berhampiran dan beramah mesra dengan masyarakat di situ. Ternyata, penduduk sekitar sememangnya menyambut baik pembinaan masjid berkenaan bagi menggantikan masjid lama yang sudah terlalu uzur.
– team berita ikdn.


















22 November 2010
KDN Sana Sini