web analytics

MAKLUMBALAS ADUAN AKHBAR HARIAN METRO BERTARIKH 03 NOVEMBER 2010, RABU – M.S. 21A (IM LAPOR)

8 November 2010

Surat Kepada Pengarang

SEGERA DENGAN FAKS
Ruj. Kami : JPN.PT:163/2/3/1 Klt.19 ( 70 )
Tarikh : 03 November 2010

Ketua Pengarang
Harian Metro,

Tuan,

MAKLUMBALAS ADUAN AKHBAR HARIAN METRO BERTARIKH 03 NOVEMBER 2010, RABU – M.S. 21A (IM LAPOR)

Dengan hormatnya, saya diarah merujuk kepada perkara di atas.

2. Jabatan Pendaftaran Negara Malaysia (JPN) ingin menjelaskan isu berkaitan kualiti cip MyKad yang dibangkitkan oleh EZANIR [IMA02850]. JPN memandang serius isu kualiti MyKad dan sentiasa menjalankan ujian ketahanan cip dan fizikal MyKad. MyKad yang telah siap juga diuji bagi tujuan pengesahan kefungsian cip MyKad sebelum diserahkan kepada pemohon sewaktu proses serahan MyKad dibuat di kaunter.

3. Namun begitu, diakui bahawa masih terdapat kes cip MyKad yang gagal berfungsi selepas beberapa bulan dikeluarkan. Bagi mengenalpasti punca permasalahan tersebut JPN melaksanakan ujian analisa kegagalan cip. Pihak Jabatan juga telah memaklumkan kepada pihak pembekal untuk membuat tindakan penyelesaian pada permasalahan yang sering berlaku pada cip MyKad.

4. Ingin dijelaskan juga bahawa Mykad memerlukan penjagaan rapi untuk menjamin jangka hayat kad yang maksimum. Cip perlu diberi perhatian khusus dan dilindungi dari faktor – faktor yang boleh menyebabkan kerosakan supaya Mykad dapat digunakan tanpa sebarang masalah. Antara tip – tip bagi penjagaan Mykad yang betul adalah seperti berikut:

a) Elakkan Mykad daripada terdedah kepada suhu yang terlampau tinggi,
b) Elakkan daripada aktiviti yang boleh merosakkan cip,
c) Elakkan Mykad daripada terdedah kepada air, bahan kimia dan asid yang boleh menjejaskan ketahanan Mykad,
d) Elakkan daripada merosakkan permukaan Mykad,
e) Elakkan daripada risiko yang boleh mengakibatkan kad bengkok

5. Jabatan ini sentiasa berusaha untuk memastikan kualiti MyKad berada ditahap yang memuaskan bagi memastikan sistem penyampaian perkhidmatan kepada orang ramai sentiasa terjamin.

Sekian, terima kasih.

“BERKHIDMAT UNTUK NEGARA”

Saya yang menurut perintah.

(JAINISAH BINTI MOHD NOOR)
Pegawai Perhubungan Awam,
b.p Ketua Pengarah,
Jabatan Pendaftaran Negara,
Malaysia.

 : 03-88807077
 : 03-88808288
 : pro@jpn.gov.my

s.k.: 1. Y. Bhg. Dato’ KPPN
2. Y. Brs. Tuan TKPPN (P)
3. Y. Brs. Tuan TKPPN (O)