Menteri Dalam Negeri, Y.B Dato’ Seri Hishammuddin bin Tun Hussein telah menghadirkan diri ke Majlis Perasmian Penutup Hari Bertemu Pelanggan KDN dan Majlis Penyerahan Lesen Mesin Cetak dan Permit Penerbitan serta Penyampaian Sijil Pengurusan Pertubuhan di Tebingan BGS Petra Jaya, Sarawak pada 21 November 2010.
Majlis Hari Bertemu Pelanggan KDN merupakan acara yang dijalankan dalam usaha menyalurkan maklumat mengenai perkhidmatan di dalam KDN selain menjadikan saluran terbaik untuk mendekatkan diri dengan pelanggan bagi mengenalpasti isu permasalahan yang dihadapi.
“Sejak semalam sambutan orang ramai amat menggalakkan dan dihadiri oleh ramai rakyat negeri Sarawak dari merata tempat, pelbagai lapisan umur dan latar belakang dan ini merupakan platform terbaik untuk menjayakan gagasan 1Malaysia,” katanya
Hadir sama, Timbalan Speaker Dewan Rakyat merangkap Ahli Parlimen Santubong Datuk Dr Haji Wan Junaidi Tuanku Jaafar, Menteri Perumahan dan Pembangunan Bandar, Datuk Amar Abang Haji Johari Tun Abang Haji Openg, Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) Datuk Haji Fadillah Haji Yusuf dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Damai Dr. Abdul Rahman Junaidi.
Dalam majlis yang sama, Dato’ Seri Hishammuddin turut menyampaikan sijil dan sumbangan sebanyak RM20,000 kepada 10 Pertubuhan Cemerlang dari Bahagian Kuching. Kecemerlangan ini diambil kira dari aspek sumbangan persatuan kepada rakyat dalam memperbaiki taraf hidup, kebajikan, pendidikan, keagamaan dan kebudayaan. Antara persatuan yang menerima sumbangan tersebut ialah Persatuan Kebangsaan Dayak Bidayuh, Persatuan Kebangsaan Dayak Sarawak, Persatuan Kebangsaan Melayu Sarawak, Harakah Islamiah (HIKMAH), The Sarawak Buddhist Association, Persatuan Pesara Kerajaan Sarawak, Persatuan-Persatuan Cina Bersekutu Bahagian Bersekutu Bahagian Kuching Dan Samarahan Sarawak, Persatuan Gereja-Gereja Di Sarawak, Persatuan Guru-Guru Sekolah Rendah Aliran Bahasa Cina Bahagian Kuching/Samarahan Sarawak dan Persatuan Ibu Tunggal Sarawak.
Dato’ Seri Hishammuddin juga menyampaikan permit Penerbitan serta Lesen Mesin Cetak kepada tujuh syarikat yang telah berjaya mendapat kelulusan setelah memenuhi syarat-syarat Lesen dan Permit, Garis Panduan Penerbitan dan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984.
Sebelum menghadiri majlis tersebut, Dato’ Seri Hishammuddin sempat meluangkan masa melawat Maimunah Akip, 68, yang tinggal bersama tujuh cucu di sebuah rumah yang dibina dibawah Program Bantu Rakyat (PBR) pada tahun 2006 di Kampung Boyan-Gersik-Surabaya.
–team berita iKDN


















25 November 2010
KDN Sana Sini