web analytics

Mykid Express 1 Jam

12 November 2010

KDN Sana Sini

Pelancaran Mykid Express oleh Jabatan Pendaftaran Malaysia (JPN) menambah makna bukan sahaja kepada usaha berterusan inovasi di jabatan ini bahkan apa yang lebih penting ialah memberi kemudahan kepada orang ramai.

Pelancaran ini disempurnakan oleh Ketua Setiausaha KDN Dato Sri Mahmood b. Adam pada 11 November 2010 di ibu pejabat JPN, Putrajaya. Mykid Express membolehkan pemerosesan kad mykid yang lebih cepat tanpa mengabaikan ciri keselamatannya. Mykid merupakan kad pengenalan diri bercip yang dikeluarkan kepada bayi yang baru lahir dan kanak-kanak di bawah umur 12 tahun yang bertaraf warganegara semasa permohonan pendaftaran kelahiran.

Jabatan Pendaftaran Negara telah mengeluarkan Kad Pengenalan Mykid pada akhir tahun 2002 sebagai projek perintis dan dilaksanakan di seluruh Semenanjung Malaysia dan diperluaskan ke Sabah dan Sarawak pada tahun 2003. Sehingga kini sebanyak 2.8 juta MyKid telah dikeluarkan di seluruh Malaysia. Prosesnya kini hanya mengambil masa satu jam berbanding dahulu selama 30 hari. Bagaimanapun kemudahan ini untuk permulaan dilaksanakan di di JPN Putrajaya dahulu sebagai projek perintis dan cawangan lain secara berperingkat.

Aplikasi utama yang terkandung di dalam cip MyKid adalah maklumat JPN, maklumat kesihatan dan maklumat pendidikan. Mykid berfungsi sebagai dokumen alternatif kepada Sijil Kelahiran. Ia juga boleh dimanfaatkan sebagai kad untuk sistem kehadiran pelajar ke sekolah, Sistem pendaftaran kemasukan ke sekolah, sistem profil murid dan sistem pendaftaran kemasukan ke hospital. Ini merupakan salah satu langkah inovasi kerajaan bagi meningkatkan lagi kualiti penyampaian dalam perkhidmatan awam.

Hari Inovasi JPN 2010 telah berlangsung selama dua hari iaitu bermula pada 10 November 2010 dan berakhir pada 11 November 2010 bertempat di Balora Perdana, Jabatan Pendaftaran Negara, Putrajaya. Hari Inovasi ini melibatkan pemberian enam anugerah yang masing-masing meneliti tahap keberkesanan dan kualiti serta kreativiti pekerjaan yang dijalankan.

JPN Pulau Pinang berjaya membawa pulang piala Ketua Pengarah dengan merangkul tempat ketiga. Tempat kedua membawa pulang piala Ketua Setiausaha dimenangi oleh JPN Kedah dan JPN Sarawak merangkul piala Menteri Dalam Negeri membawa gelaran tempat pertama.

— team berita ikdn