Rancangan Pengumpulan Semula (RPS) Air Banun terletak di Hulu Perak didiami oleh Orang Asli atau lebih suka didengari dengan panggilan Orang Kita di mana dua suku utama orang asli di sini ialah JAHAI dan TEMIAR. RPS adalah usaha Jabatan Hal Ehwal Orang Aslu (JHEOA) untuk membangunkan pusat pentadbiran, perumahan peserta, kemudahan infrastruktur dan projek pembangunan ekonomi masyarakat Orang Asli. JHEOA telah melaksanakan program penempatan semula melalui 17 RPS yang mana melibatkan seramai 3,175 KIR (Ketua Isi Rumah) dan sejumlah 14,203 orang penduduk.

Hasil pendapatan utama masyarakat ini ialah hasil hutan dan hasil buruan. Pendapatan sampingan yang boleh mereka peroleh ialah pada musim petai dengan menjualnya kepada peraih-peraih luar kerana permintaan yang banyak. Antara lain hasil hutan, kayu cendana dan gaharu yang sememangnya mahal dan sukar untuk didapati. Walaupun RPS Air Banun terletak jauh di pedalaman yang bersempadan dengan Kelantan, namun pembangunan tetap dapat dirasai dengan terbinanya Sekolah Kebangsaan RPS Banun yang dilengkapi pelbagai kemudahan termasuk makmal komputer. Generator adalah sumber tenaga elektrik utama tetapi beroperasi secara terhad.

Pada 13 September 2010, RELA telah memilih RPS Air Banun sebagai tempat berlangsungnya Kempen Penambahan Ahli RELA Baru Masyarakat Orang Asli Peringkat Negeri Perak. Kempen ini adalah bertujuan untuk mendekati rakyat disamping untuk menarik mereka keluar daripada pemikiran lama mereka yang masih lekat dengan adat tradisional tanpa menerima sebarang pembaharuan. Pelantikan masyarakat ini menjadi RELA juga bertujuan untuk mereka menjaga kawasan kediaman sendiri oleh kerana untuk pihak polis datang ke kawasan ini adalah amat jauh dan jika perlukan tindakan segera mereka boleh mempertahankan kawasan sendiri.

Walaupun tidak lagi pernah dilaporkan masyarakat orang asli ini menjadi mangsa pemerdagangan orang, tetapi kesedaran tetap harus diberi. Inilah antara tujuan utama Bahagian Komunikasi Korporat Kementerian Dalam Negeri membuat pameran di RPS Air Banun. Pameran ini memberikan maklumat yang betul-betul berguna kepada semua orang kerana kita akan lebih berhati-hati dan tidak mudah termakan pujukan sekiranya perkara ini berlaku kepada diri sendiri.

RPS Air Banun walaupun terletak di pinggiran tetapi meraka tidak terpinggir lagi oleh masyarakat kini yang semakin maju dan pesat dengan pembangunan seiring peredaran masa hasil perhatian kerajaan kepada mereka.
— team berita ikdn


















15 November 2010
KDN Sana Sini