web analytics

Sesi Bertemu Media: Flying Squad Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian Dalam Negeri (KDN) Jabatan Imigresen Malaysia.

4 November 2010

KDN Sana Sini

Flying Squad KSU KDN merupakan Pasukan Khas yang ditubuhkan melalui inisiatif KSU Dato’ Sri Mahmood Adam menerusi Mesyuarat Kementerian Dalam Negeri yang dipengerusikan oleh beliau pada 22 Oktober 2010. Penubuhan Pasukan Khas ini, dijangka dapat membantu meningkatkan kualiti sistem penyampaian perkhidmatan dan memantapkan imej Jabatan Imigresen Malaysia.

Melalui taklimat sesi bertemu media pada tarikh 3 November 2010 yang disampaikan oleh Ketua Flying Squad KSU KDN Jabatan Imigresen Malaysia, Dr. S Watchala, skuad ini dianggotai oleh Nik Ahmad Zahasli Bin Nik Yah daripada Jabatan Imigresen Wilayah Persekutuan, Peter Wong Tzyy Chuan daripada Bahagian Pengurusan Pekerja Asing KDN, Shaiful Bakri Bin Mohd Badawi daripada Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya, Maureen Anak Jusi daripada Bahagian Kepenjaraan, Antidadah dan Pertahanan Awam KDN, Zaina Binti Mohamad daripada Bahagian Pengurusan Aset KDN dan dua Pegawai Khas KSU, Mohd Suffian Bin Mohd Kasim dan Mohd Noor Azuan Bin Mohd Ariff.

Melihat kepada keseluruhan anggota tersebut, Pasukan Khas ini tidak hanya terdiri daripada Pegawai Imigresen sahaja, tetapi juga merupakan gabungan pegawai-pegawai yang berpengalaman di beberapa bahagian di dalam KDN. Selain itu, anggota-angota ini dipilih berdasarkan tahap integriti yang tinggi dan rekod perkhidmatan yang baik. Situasi ini menunjukkan bahawa Flying Squad begitu optimis di dalam usaha melakukan transformasi dengan telus, merangkumi aspek dalaman dan luaran Jabatan Imigresen Malaysia secara khasnya dan KDN secara amnya.

Secara spesifik, tujuan dan matlamat utama Flying Squad adalah mengenalpasti isu-isu kritikal serta mengemukakan inisiatif-inisiatif yang dapat memantapkan dan meningkatkan imej serta integriti Jabatan Imigresen. Bagi mencapai tujuan dan matlamat tersebut, Flying Squad telah mengenalpasti beberapa Rakan Kerjasama yang dapat membantu di dalam mengenalpasti isu-isu kritikal berkaitan Jabatan Imigresen. Rakan Kerjasama yang telah dikenalpasti adalah Orang Awam sebagai kumpulan majoriti, diikuti oleh warga Jabatan Imigresen, Media, NGO dan Wakil Industri. Oleh yang demikian, fokus juga diberikan di dalam konteks merangka inisiatif-inisiatif yang berkesan di hati rakyat dengan pantas berlandaskan konsep “Big Result Fast”. Ia juga dilihat sejajar dengan slogan 1Malaysia “Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan”.

Demi mencapai tujuan dan matlamat Flying Squad, beberapa langkah untuk memperoleh dan menyampaikan maklumat telah dirangka iaitu Sesi Engagement, Facebook Flying Squad, Maklumbalas, Peti Cadangan di lokasi strategik, dan Soal Selidik. Langkah-langkah ini dilihat berupaya untuk mewujudkan hubungan secara langsung diantara Flying Squad dengan Rakan Kerjasamanya, disamping memastikan penyaluran maklumat secara dua hala dan berterusan. Selain itu, Pasukan Khas ini juga akan mempraktikkan amalan “turun padang” bagi mendalami isu-isu kritikal yang berkaitan dengan Jabatan Imigresen.

Secara konklusinya, Pasukan Khas yang diberi nama Flying Squad ini dijangka dapat membantu KDN di dalam usaha meningkatkan kualiti sistem penyampaian perkhidmatan serta memastikan moral, kebajikan, dan integriti warga Jabatan Imigresen Malaysia sentiasa terpelihara demi keselamatan negara dan kesejahteraan rakyat.

–team berita ikdn