web analytics

TEKAD DI AIDILADHA

22 November 2010

KDN Sana Sini

Kuala Lumpur 18 November; Di saat umat Islam negara ini meraikan Hari Raya Aidiladha serta melaksana ibadah korban, di sudut hati 3 individu yang telah terjurumus ke lembah penagihan dadah turut menanam tekad untuk menjadikan Aidiladha pada tahun ini sebagai kenangan yang begitu bermakna bagi mereka kerana ingin melupakan titik hitam dalam penagihan dadah. Hasrat tersebut dilihat mempunyai nilai signifikan yang cukup tinggi yang memperlihatkan pengorbanan, keikhlasan dan kesanggupan terpuji yang perlu dimiliki oleh setiap individu Muslim.

Pengorbanan yang dituntut oleh agama bukan setakat melakukan penyembelihan haiwan tetapi lebih daripada itu sama ada yang bersangkut-paut dengan hubungan kita dengan Allah SWT, keluarga, masyarakat, bangsa dan negara. Seorang belia yang berasal dari Kedah, Malau (bukan nama sebenar), amat bersyukur kehadrat Ilahi kerana masih diberikan peluang olehNya untuk kembali ke pangkal jalan dengan mengikuti rawatan di Klinik C&C 1Malaysia, Sg. Besi. Beliau yang berusia 31 tahun mengaku telah mengambil dadah jenis heroin sejak berusia 16 tahun lagi. “Pada mulanya saya hanya ingin mencuba heroin, namun setelah mencuba, saya mula terpengaruh dengan rakan-rakan sebaya saya yang lain sehingga saya terjerumus ke kancah penagihan. Sepanjang menagih heroin, saya telah 3 kali menjadi penghuni penjara,” jelas beliau memulakan perbualan. Beliau secara sukarela telah ke pejabat AADK di Kedah bagi mendapatkan rawatan terapi metadon dan semasa di pejabat AADK tersebut, Malau telah mendapat maklumat mengenai Klinik C&C 1Malaysia.

Tanpa berfikir panjang, Malau telah bertolak ke Sg. Besi dengan menaiki bas dari Kedah dengan sehelai sepinggang. Setibanya Malau di pintu masuk Klinik C&C 1Malaysia, Malau amat terkejut kerana kedatangannya disambut baik dan mesra walaupun pada jam 11 malam. Malau kini sedang mengikuti pakej rawatan sebulan di Klinik C&C. Beliau telah 20 hari mendapatkan rawatan di Klinik C&C 1Malaysia, Sg. Besi. Menurut beliau lagi, setelah tamat sesi rawatan selama sebulan di Klinik berkenaan, beliau mungkin akan menyambung lagi sesi rawatan demi kepulihannya dari penagihan dadah. Pengaruh dari adik ipar pula telah mengheret Shah (bukan nama sebenar) ke kancah penagihan. Shah, 24, mengaku mula menagih heroin sejak 3 tahun yang lalu. Menurut beliau, sejak mula menagih heroin, ekonomi rumah tangganya mula tidak terurus sehingga menyebabkan isteri mengesyorkannya mendapatkan rawatan di Klinik C&C 1Malaysia. “Sebagai suami, saya mengambil keputusan untuk menjalani rawatan di klinik ini demi masa depan keluarga saya”.Jelas beliau lagi.

Setelah mendaftar di Klinik C&C 1Malaysia, beliau telah memilih untuk mengikuti pakej 3 bulan. Setelah 1 bulan dan 15 hari beliau di Klinik C&C 1Malaysia, Shah berpendapat bahawa program yang diikutinya ini amat bagus kerana pengisian aktiviti harian yang padat telah membuatkan beliau lupa akan heroin.

Menurut Shah lagi, sejak berada di Klinik C&C 1Malaysia, beliau banyak belajar mengenai erti kehidupan. Setelah tamat rawatan di Klinik ini nanti, Shah bercadang untuk mengikuti program re-entry. Beliau turut berazam untuk memperkanalkan Klinik C&C 1Malaysia kepada rakan-rakannya yang masih hanyut serta khayal dengan dadah. Beliau akan menasihati rakan-rakannya agar mengikuti program rawatan di Klinik C&C 1Malaysia seperti beliau.

Shah sempat memberi nasihat kepada seluruh rakyat Malaysia supaya tidak sesekali mencuba dadah. Kepada yang telah terjebak dengan kancah penagihan, Shah menyeru agar golongan tersebut segera mendapatkan rawatan di Klinik C&C 1Malaysia kerana banyak kemudahan yang disediakan di Klinik C&C1Malaysia selain suasana di sini amat berbeza dari suasana di luar.

Bagi warga emas yang berusia 52 tahun, Az (bukan nama sebenar) mengaku pengaruh rakan telah menyebabkan hidupnya hancur. Az mula mengambil dadah jenis ganja sejak berusia 18 tahun. Setelah 4 tahun menagih ganja, Az mula mencuba heroin. Sepanjang terjebak dengan kancah penagihan, Az telah beberapa kali keluar masuk penjara dan PUSPEN.

Menurut warga emas yang berasal dari Ampang ini lagi, setiap kali beliau ditahan dan menjalani rawatan di PUSPEN, beliau akan berhenti mengambil dadah. Setelah keluar dari PUSPEN, beliau hanya bertahan sehingga 5 bulan dan setelah itu beliau akan kembali mengambil dadah.

Namun begitu, kesedaran akhirnya timbul di hati Az menyebabkan beliau mencari rawatan yang terbaik. Beliau pernah mendapatkan rawatan terapi metadon di klinik-klinik swasta namun tidak membuahkan hasil. Setelah kecewa dengan dengan kegagalan tersebut, beliau telah ke Klinik C&C 1Malaysia untuk mendapatkan rawatan bagi menghilangkan ketagihannya.

Pada awalnya, Az mengambil pakej sebulan di Klinik C&C 1Malaysia. Setelah tamat tempoh rawatan selama sebulan di Klinik C&C 1Malaysia, Az merasakan dirinya belum cukup kuat untuk berhadapan dengan cabaran yang bakal ditempuhi di luar, Az mengambil keputusan untuk meneruskan rawatan serta kekal di Klinik ini. Az telah 2 bulan di Klinik C&C 1Malaysia dan kini beliau sedang mengikuti pakej 6 bulan. Az juga sudah 2 minggu mengikuti rawatan terapi metadon di Klinik C&C 1Malaysia.

Berdasarkan pengalaman Az yang pernah masuk penjara seta mengikuti rawatan di PUSPEN, Az berpendapat program-program yang disediakan di Klinik C&C merupakan yang terbaik yang pernah diikutinya. Menurut beliau, di penjara beliau hanya duduk dalam sel tanpa berbuat apa-

apa, di PUSPEN pula lebih banyak latihan secara fizikal yang dijalankan, tetapi di Klinik C&C 1Malaysia, semua programnya yang dijalankan telah membentuk sahsiah serta peribadinya.

“Hidup di dunia tidak lama dan apa persiapan kita untuk kehidupan di sana. Tiada noktahnya penagihan dadah dan kita tidak mendapat apa-apa kemegahan dengan mengambil dadah. Jangan sesekali mencuba dadah. Bersempena sambutan Hari Raya Korban ini, saya berharap masyarakat mengambil ikhtibar dari kisah diri saya ini,” luahan Az sebelum mengakhiri perbualan.

Sekian, terima kasih.