web analytics

4 Kakitangan Penjara Maut

17 December 2010

KDN Sana Sini

Empat kakitangan Jabatan Penjara Tawau terbunuh, manakala 21 penumpang bas jabatan itu termasuk seorang wanita dan dua kanak-kanak lelaki cedera apabila ia terjatuh ke dalam gaung di Kilometer 32, Jalan Penampang-Tambunan, Kampung Moyog, Penampang pagi semalam.

Dalam kejadian jam 10.15 pagi itu, bas Jabatan Penjara bernombor pendaftaran WPS 550 berkenaan dalam perjalanan dari Keningau ke Tawau selepas pegawai dan kakitangannya menyertai Kejohanan Bola Sepak Piala Pengarah Jabatan Penjara Sabah di di Sekolah Henry Gurney Keningau. Mereka yang terbunuh ialah tiga warden, iaitu Madinah Alhamdulillah, 38; Selamat Idris, 31 dan Saberin Murad, 28, serta pemandu kedua bas itu, Muslimin Mohamad, 36.

Madinah berasal dari Semporna, Selamat dan Muslimin dari Tawau serta Saberin dari Kampung Rampayan, Menggatal dekat Kota Kinabalu. Wanita berusia dalam lingkungan 30-an itu adalah isteri kepada seorang daripada 18 kakitangan penjara yang cedera, manakala dua kanak-kanak ialah, Norehan, 12, iaitu anak Muslimin dan Hafidz Ramli, 14, anak seorang lagi kakitangan penjara yang cedera.

Foto Datu Ruslan Sulai-BH

Ketua Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Sabah, Superintendan Bon Jeen a/l Ah Rom @ Sowat, berkata siasatan awal mendapati bas dipandu Ridzuan Samda Mudin, 35, dipercayai gagal dikawal ketika melalui laluan berbukit sebelum terbabas dan terjunam ke dalam gaung di KM.30, Jalan Tambunan – Penampang di Kampung Ulu Mayog.

Jalan Penampang-Tambunan adalah laluan berbukit sepanjang kira-kira 40 kilometer di Banjaran Crocker yang berfungsi sebagai laluan utama Keningau-Penampang.

–team berita ikdn