Buat kali yang ke-12 pada tahun ini, Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) telah mengadakan sambutan Hari Imigresen pada 1 Disember 2010 lalu bertempat di Ibu Pejabat Imigresen, Putrajaya dan ini adalah pertama kalinya majlis ini dirasmikan oleh Y. B. Menteri Dalam Negeri, Dato’ Seri Hishammuddin Bin Tun Hussein.

Dato’ Seri Hishammuddin yang berucap dalam majlis itu turut menyuarakan rasa bangga beliau terhadap kejayaan JIM kerana telah berjaya mengorak langkah dalam aspek integriti selaras dengan slogan “Perkhidmatan Berkualiti dan Berintegriti”. Walaupun pada hakikatnya penubuhan JIM masih belum mencecah 40 tahun, tetapi peranan JIM dalam memelihara keselamatan negara sudah bermula sebelum itu lagi.

Beliau turut menyeru agar seluruh warga Imigresen untuk sentiasa berusaha ke arah memastikan setiap misi dan objektif Jabatan dan Kementerian tercapai. Oleh itu, wajarlah bagi setiap warga JIM agar berpandangan luas mengenai tanggungjawab dan amanah yang bukan hanya tertumpu kepada soal mengurus semata-mata, tetapi juga berkait dengan soal integriti dunia tanpa semapdan serta keselamatan negara.

“Kita perlu bergerak sebagai satu pasukan, sebagai satu gelombang yang sama-sama berkongsi impian dan semangat serta komitmen,” kata beliau kepada warga JIM dengan harapan agar dapat menjadikan Jabatan ini lebih efektif, berdaya maju dan mampu memberikan perkhidmatan terbaik kepada bangsa agama dan Negara tercinta.

Dato’ Seri Hishammuddin juga sempat meluangkan masa untuk upacara Pemakaian Lencana Pangkat Penguasa Imigresen KP42, KP44 dan KP48. Selain itu, Jabatan Imigresen Malaysia Johor juga memenangi Johan Keseluruhan Anugerah Kualiti.

Anggota Flying Squad yang ditubuhkan melalui inisiatif KSU KDN, Dato’ Sri Mahmood Adam turut diberikan sijil penghargaan kerana berjaya membantu dalam meningkatkan kualiti sistem penyampaian perkhidmatan dan memantapkan imej Jabatan Imigresen Malaysia. Majlis ini diakhiri dengan penyampaian cenderahati kepada Dato’ Seri sebagai tanda simbolik.

–team iKDN


















1 December 2010
KDN Sana Sini