web analytics

Pelancaran Program Pendidikan Pencegahan Bahagian Kawalan Penapisan Filem dan Penguatkuasaan KDN

13 December 2010

KDN Sana Sini

Bahagian Kawalan Filem dan Penguatkuasaan, Kementerian Dalam Negeri telah menganjurkan majlis pelancaran program pendidikan pencegahan yang telah berlangsung di Kompleks Kementerian Dalam Negeri Ayer Keroh Melaka pada 10 Disember 2010.


Program yang julung-julung kalinya diadakan ini telah dirasmikan oleh Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Wira Abu Seman Yusop. “Sesungguhnya, pelancaran program pendidikan pencegahan ini adalah bertujuan untuk mendidik masyarakat tentang bahayanya pengaruh-pengaruh negatif yang dibawa oleh filem-filem cetak rompak atau filem-filem yang belum diluluskan. Pendidikan adalah satu cara yang berkesan untuk mengajar dan menyedarkan orang ramai khususnya generasi muda supaya tidak membeli filem-filem haram ini di pasaran”. Katanya semasa merasmikan majlis ini.


Sepanjang tempoh enam tahun iaitu daripada tahun 2005 hingga 2010, Bahagian Kawalan Filem dan Penguatkuasaan ini telah melaksanakan sejumlah 12,509 kali operasi. Di dalam operasi tersebut sebanyak 2,737,129 filem berbentuk VCD/DVD bernilai hampir RM 22 juta telah berjaya dirampas dengan 3326 orang telah tertangkap. Ini telah membuktikan kesungguhan KDN untuk membasmi kegiatan haram ini.


Datuk Wira Abu Seman Yusop juga sempat memberikan amanat beliau kepada anggota-anggota penguatkuasa supaya menggunakan kuasa yang diperuntukkan dengan penuh integriti dan adil serta menerapkan nilai-nilai murni dan disiplin yang tinggi. Beliau turut menegaskan bahawa kita tidak boleh berkrompomi sekiranya undang-undang mahupun keselamatan negara dicabuli.


Majlis diakhiri dengan demonstrasi pelupusan VCD/DVD yang telah dirampas oleh Datuk Wira Abu Seman Yusop. Beliau juga sempat melawat ke gerai-gerai pameran yang disediakan. Hadir sama ke majlis ini adalah Setiausaha Bahagian, Bahagian Kawalan Penapisan Filem dan Penguatkuasaan, En. Thanasengran Sinnathambi dan Pengerusi Lembaga Penapis Filem, Datuk Hj Mohd Hussain Shafie serta Ahli-ahli Exco Kerajaan negeri Melaka.


–team berita ikdn