PUTRAJAYA, 1 Disember 2010: Kegembiraan dua orang pencuri motosikal hanya bersifat sementara, apabila kedua-duanya telah berjaya diberkas dalam tempoh 30 minit sahaja.
Kira-kira jam 2.20 petang, Unit Polis Bantuan Kementerian Dalam Negeri (KDN) telah menerima aduan daripada orang awam mengenai kehilangan sebuah motosikal jenis Yamaha LC 135 di parkir motosikal bersebelahan Taska KDN. Bertindak terhadap aduan tersebut, satu gerak operasi ditubuhkan oleh Unit Polis Bantuan KDN yang melibatkan enam anggota dan diketuai oleh Kopral Abdul Razak Bin Hussin.
Operasi yang dilaksanakan dengan kerjasama Vendor Kamera Televisyen Litar Tertutup (CCTV) telah berjaya mengesan dua orang suspek dan mengenalpasti modus operandi yang digunakan. Berdasarkan visual yang dirakamkan melalui Televisyen Litar Tertutup (CCTV), dua suspek tersebut didapati menaiki dua buah motosikal secara berasingan dan suspek utama telah meninggalkan motosikal miliknya di tempat kejadian untuk mencuri motosikal milik mangsa. Sementara itu, suspek kedua dilihat berfungsi sebagai pengiring kepada suspek utama. Menyedari hakikat bahawa suspek akan kembali semula untuk mengambil motosikal miliknya yang telah ditinggalkan, Unit Polis Bantuan KDN bertindak pantas memantau motosikal milik suspek utama dan mengadakan kawalan khas di lokasi-lokasi strategik. Hasil daripada tindakan tersebut, kedua-dua suspek telah berjaya ditangkap hanya dalam tempoh 30 minit. Melalui proses soal siasat yang berlandaskan bukti kukuh, suspek telah mengaku dan memberikan satu alamat kediaman di Puchong, Selangor yang disyaki lokasi motosikal mangsa disorokkan.
Ekoran daripada itu, kedua-dua suspek dan juga maklumat soal siasat tersebut diserahkan kepada pihak Ibu Pejabat Polis Putrajaya untuk tindakan lanjut. Berpandukan alamat yang diberikan oleh Unit Polis Bantuan KDN, motosikal milik mangsa telah berjaya ditemui oleh pihak Ibu Pejabat Polis Putrajaya tersebut.








—team berita iKDN


















2 December 2010
KDN Sana Sini